MALAS, lalai atau pentingkan diri? Itu persoalan yang sering bermain di fikiran setiap kali penulis berdepan masalah pemandu kenderaan yang gemar mengubah laluan tanpa lampu signal.
Masalah ini juga seolah-olah tidak berpenghujung kerana bukan sahaja penulis, malah kenalan dan pengguna media sosial juga sering membangkitkan perihal sama.
Tindakan golongan ini cenderung menyebabkan pihak lain terpaksa menanggung risiko kecederaan parah mahupun kematian.
Kelas memandu yang diikuti sebelumnya bagaikan ‘tiket’, hanya untuk mendapatkan lesen semata-mata tanpa rasa tanggungjawab mempraktikkan apa yang telah dipelajari
Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Manan Supri atau dikenali sebagai Jamil berkata, ramai pemandu gagal menggunakan lampu isyarat atas faktor kelalaian, tidak fokus dan gangguan sama ada disedari atau tidak.
Katanya, ia disebabkan pemikiran mereka tertumpu kepada urusan kerja dan ingin sampai ke destinasi sepantas mungkin.
“Mereka tidak hiraukan kenderaan lain ketika ingin ubah laluan hingga lupa beri isyarat, leka dengan telefon bimbit atau tidak cekap guna aplikasi penunjuk arah.
“Kesimpulannya, mereka tidak fokus dan tidak tenteram sepenuhnya ketika memandu,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam masa sama, beliau berkata, budaya memandu di Malaysia juga di tahap lemah berbanding negara lain berikutan masih ramai yang melanggar dan gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
“Mereka perlu diberi pendedahan dan galakkan untuk mengikuti latihan pemanduan berhemah atas inisiatif sendiri.
“Negara maju lain lebih menitikberatkan pemandu hadiri kursus pemanduan lanjutan dan untuk dapatkan tempat, ia ambil masa berbulan-bulan terutamanya di United Kingdom, Australia, Jerman dan lain-lain,” ujarnya.
Jelas beliau, antara kawasan yang sering berlaku perlanggaran akibat kegagalan memberikan lampu isyarat ialah di persimpangan jalan sama ada membelok ke kiri atau kanan.
“Juga kerap berlaku di persimpangan pusingan U, termasuk yang mahu berhenti di bahu jalan selain kurangnya pemandu yang pasang lampu kecemasan,” jelasnya.
Tambah beliau, keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama dan wajib diamalkan penggunaan lampu isyarat ketika memandu.
“Kegagalan guna lampu isyarat sebelum ubah haluan adalah kesalahan lazim pemandu seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia.
“Kempen kesedaran bukan tanggungjawab pihak lain atau agensi tertentu sahaja, malah self enforcement pemandu juga perlu,” tegasnya.
Oleh itu katanya, tindakan penguatkuasaan tegas mesti dibuat berterusan tanpa penawaran kadar kompaun atau denda yang rendah.
Masyarakat juga ujarnya, boleh menjadi pemerhati kepada pihak berkuasa supaya pesalah boleh dikenakan tindakan susulan.
“Pengguna rakaman video papan pemuka (dashcam) juga harus mainkan peranan sama. Ia bantu ingatkan pemandu lain agar tidak buat kesalahan sama ketika mahu membelok, tukar lorong atau hentikan kenderaan di tepi jalan sesuka hati kerana ada pemerhati,” tambahnya.














