KUALA TERENGGANU – Orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bekalan telur ayam pada harga baharu di sebuah premis pemborong telur di Chabang Tiga di sini semalam.
Sebaik dibuka pada pukul 9 pagi, sebanyak 2,500 papan telur ayam gred A, B dan C yang baru diturunkan daripada lori pembekal habis terjual dalam tempoh tidak sampai tiga jam.
Pengurus syarikat pemborong, Nursyzanil Adha Ramli berkata, para pelanggannya mula beratur seawal pukul 7.30 pagi untuk membeli telur pada harga murah seperti diumumkan Perdana Menteri pada Isnin lalu.
“Bekalan telur ayam bagi semua gred diterima pagi tadi (semalam) sudah habis dijual menjelang pukul 11 pagi.
“Telur ayam gred AA dan D yang kekal harganya juga laku. Kini tinggal kurang 200 papan telur ayam kampung dan premium yang belum terjual,” katanya ketika ditemui di Chabang Tiga.

Nursyzanil Adha memberitahu, pihaknya tidak mengehadkan pembelian kerana tidak menyangka mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Keadaan itu menyebabkan ada pelanggan yang ‘terlepas’ membeli telur tersebut.
“Bekalan diterima juga agak kurang berbanding 4,600 papan telur sebelum ini,” katanya.
Seorang peniaga char kuetiau, Mohd. Hafizi Rusli, 41, berkata, dia tidak berfikir panjang untuk beratur apabila mengetahui bekalan telur tiba pagi semalam.
“Setiap hari, saya menggunakan 10 papan telur untuk berniaga. Harga telur ayam gred B kini RM12 sepapan, jadi dapat berjimat 90 sen. Secara keseluruhan, saya dapat berjimat sebanyak RM270 sebulan.
Bagi peniaga kedai runcit, Hafizudin Sahpli, 32, dia berharap bekalan telur ayam kekal stabil kerana sumber protein itu antara barangan keperluan paling dicari pelanggannya.
Pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit bagi telur gred A, B dan C diturunkan 3 sen sebiji berkuat kuasa hari sama. Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen untuk sebiji telur ayam tersebut melibatkan perbelanjaan berjumlah RM100 juta.














