JERANTUT – Seorang ibu tunggal Orang Asli anak lima terus dihimpit kemiskinan apabila tidak mampu untuk membeli barangan keperluan selepas tanaman yang diusahakan sering dimusnahkan gajah yang menceroboh kebunnya di Kampung Sungai Regai di sini.
Nora Nilam, 51, berkata, tanaman seperti cili padi, pisang, ubi kayu dan kelapa sawit yang diusahakan di kawasan seluas hampir dua hektar kerap dimusnahkan oleh gajah liar yang datang dari hutan berhampiran di Lepar di sini.
Katanya, kejadian mengakibatkan dia tidak dapat menuai hasil untuk memperoleh wang bagi membeli barangan dapur.
“Saya hanya mampu membeli beras hasil daripada jualan sebahagian kecil tanaman yang sempat diselamatkan.
“Kami enam beranak menetap di sini sejak 15 tahun lalu dengan izin kerajaan dan sudah lali dengan keadaan ini. Tidak cukup gajah, babi hutan turut menceroboh. Kami hanya mampu halau dengan unggun api,” katanya yang memeluk Islam sejak 10 tahun lalu.
Menurut Nora, dia cuma menanam dan menjaga pokok cili padi serta saki baki pokok sawit selain pisang kerana tidak mampu menjaga tanaman komersial lain yang kerap dimakan haiwan tersebut.
Tambahnya, 200 batang pokok cili api yang ditanamnya kini cuma tinggal 30 sahaja selepas dimusnahkan gajah liar.
“Hasil yang sedikit itu digunakan untuk berbelanja barang dapur. Setiap hujung minggu, saya kutip dua kilogram cili api untuk dijual di Bandar Pusat Jengka pada harga antara RM18 hingga RM21 sekilogram,” katanya.
Ujar Nora, dia tetap bersabar menempuh kemiskinan bersama lima anaknya dengan pendapatan RM40 seminggu.
“Saya perlu kuat dan bercadang untuk menanam ubi kayu dan pisang pula bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
















