fbpx
Para penghidap HIV dan AIDS boleh menyalurkan aduan tentang insiden stigma dan diskriminasi yang dialami ke portal online, mac.org.my.

MAC Care platform aduan kes stigma HIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA mulanya, pemuda itu berniat memaklumkan kepada pengurus tentang kondisi kesihatan diri yang perlu kerap ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Namun, tanpa disangka, maklumat ‘penyakit’ yang sepatutnya dirahsiakan tersebar kepada rakan sekerja lain yang membuatkan dia dipandang serong dan dihindari oleh mereka.

Disahkan positif HIV, Danny (bukan nama sebenar) mengakui dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan situasi tersebut yang menjejaskan tugasnya di tempat kerja.

“Awalnya saya mahu rahsiakan tetapi disebabkan pada ketika itu masih di peringkat awal rawatan, saya perlu kerap ke hospital dan mengambil cuti atau izin masuk lewat untuk bekerja.

“Bagi mengelakkan diri daripada dilihat sebagai kakitangan yang tidak profesional, saya terpaksa menjelaskan keadaan sebenar (kepada pengurus) tetapi tidak sangka ia tersebar kepada semua kakitangan,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, oleh kerana tidak mahu pekerjaannya terjejas, dia kemudian cuba mendapatkan bantuan dan menjumpai portal MAC Care yang membuka ruang untuk aduan dan sokongan buat golongan hidup dengan HIV (PLHIV) atau AIDS.

Dalam situasi berbeza, Amran (bukan nama sebenar) gembira kerana mendapat khabar ditawarkan bekerja di sebuah syarikat swasta.

Bagaimanapun, menurutnya semuanya berubah selepas dia membuat penilaian kesihatan yang mendedahkan kondisi diri sebagai PLHIV.

“Secara tiba-tiba, tawaran tersebut ditarik balik oleh pihak syarikat yang membuatkan saya kecewa dan terasa seperti didiskriminasi.

“Saya tidak mengerti kenapa pihak syarikat melihat hal itu (menghidap HIV) boleh menjejaskan pekerjaan sedangkan saya sudah dapatkan rawatan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, bagi mengubah situasi itu dan cuba memperbetulkan persepsi syarikat, dia juga mencari jalan untuk mendapatkan bantuan dan menemui portal MAC Care.

Portal MAC Care merupakan sebuah program saluran komunikasi dalam talian yang dibangunkan oleh Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia bagi menerima serta menyiasat semua bentuk aduan dan permasalahan yang berkaitan dengan HIV dan AIDS, terutamanya berkaitan insiden stigma dan diskriminasi.

Portal MAC Care telah dilancarkan pada tahun 2023 bagi menggantikan saluran aduan sedia ada dengan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan mesra pengguna .

Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia, Chung Han Yang, MAC Care ditubuhkan bagi menangkis stigma dan diskriminasi dihadapi oleh PLHIV dan komuniti yang terkesan sama ada di tempat kerja, pendidikan, rawatan di fasiliti kesihatan dan mendapatkan info berkaitan HIV/AIDS.

Beliau menyatakan pengurangan stigma dan diksriminasi juga merupakan salah satu strategi dalam mencapai matlamat Pelan Strategik Kebangsaan bagi Mengakhiri AIDS menjelang 2030 yang dituntut dalam Strategi Tiga (3).

“Dalam kes Danny dan Amran, kedua-duanya berdepan diskriminasi pekerjaan susulan persepsi negatif tentang HIV dan AIDS yang tidak sepatutnya berlaku.

“MAC Care merupakan platform untuk mengubah situasi itu dengan keupayaan kami dan menggunakan saluran betul agar insan seperti mereka berdua tidak terjejas kerana stigma dan diskriminasi yang sebenarnya tidak berkaitan dengan pekerjaan,” jelasnya.

Kongsinya lagi, dalam menyelesaikan kes kedua-dua individu itu, pihaknya telah bekerjasama dengan biro bantuan guaman sukarelawan, pegawai kesihatan AIDS untuk berhubung dengan pihak syarikat untuk menyampaikan pendidikan asas mengenai HIV dan menjelaskan PLHIV boleh bekerja dengan pengambilan ubat rawatan yang konsisten serta merujuk kepada Kod Amalan

Pencegahan Dan Pengurusan HIV atau AIDS Di Tempat Kerja yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi pengurusan pekerja yang hidup dengan HIV.

Aduan di MAC Care akan disemak oleh kakitangannya setiap hari.

Melalui usaha tersebut, pasukan MAC Care berjaya membuka mata pihak syarikat sekali gus menyelamatkan pekerjaan Danny dan Amran.

Menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) MAC Care, Han Yang menjelaskan, pengumpulan aduan buat individu terjejas bukan sekadar menerusi borang dalam talian di laman web care.mac.org.my sahaja.

Tetapi, pelaksanaan pengumpulan aduan juga dilakukan menerusi 38 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia di seluruh Malaysia.

Katanya, bagi aduan langsung (menerusi laman web) ia akan dinilai oleh pihak MAC Care sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.

Sementara menerusi NGO pula, ia akan dinilai oleh wakil di pihak mereka sebelum membuat keputusan untuk diselesaikan pihak organisasi atau diserahkan kepada Majlis AIDS Malaysia.

Bagi semua aduan yang diterima, pihak MAC Care dan NGO akan memberi respons dan berhubung dengan pengadu dalam tempoh 24 jam bagi konsultasi.

Segala maklumat yang disalurkan juga adalah rahsia dan sebarang maklumat peribadi tidak akan sewenang-wenangnya dikongsi dengan pihak ketiga, terutamanya status HIV.

“Kebanyakan kes melibatkan isu persepsi individu PLHIV atau pertanyaan berkaitan HIV atau AIDS akan diselesaikan pada hari sama atau menerusi peringkat NGO, tetapi jika melibatkan skala besar seperti diskriminasi, pihak majlis akan mengambil tindakan lanjut.

“Kita melihat kepada kekerapan, sebagai contoh situasi melibatkan klien pengguna dadah yang menyertai Program Pertukaran Jarum Suntikan (NSEP) yang sering berdepan tindakan undang-undang sewaktu mendapatkan rawatan, kami akan berhubung dengan pihak penguat kuasa untuk mencari jalan tengah bagi mengelak situasi penangkapan salah berlaku,” ujarnya.

Kongsinya lagi, sepanjang Januari hingga Mei 2024, peratusan aduan yang diterima dan diselesaikan melibatkan 60 peratus kes berkaitan pekerjaan, rawatan dan kesihatan (20 peratus) serta masing-masing 10 peratus untuk pendidikan dan penangkapan polis.

Dalam usaha menambah baik khidmat MAC Care, Han Yang memberitahu pihaknya kini dalam usaha menambah baik saluran aduan dan pertanyaan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) menerusi Chatbot.

Jelasnya lagi, fungsi Chatbot yang masih dalam pembangunan bakal menjadi sebahagian daripada laman web dan akan menjadi sumber maklumat langsung kepada mereka yang mahu mendapatkan maklumat tentang HIV dan AIDS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN