fbpx
MILIKI reputasi cemerlang dalam arena muzik global bernuansa Electronic Dance Music (EDM), Alan Walker sememangnya individu yang berkarakter misteri, namun sarat jiwa seni.

Panggilan Alan Walker si raja EDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Alan Walker tidak memerlukan mukadimah, terutama bagi penggemar Electronic Dance Music (EDM) sebaik lagunya, Faded menakluk carta global dan meraih pelbagai anugerah sekitar 2015.

Hampir sedekad memperjuangkan genre tersebut, pemuzik dan juga produser asal Norway itu terus memancing perhatian dengan deretan seleksi gubahan sendiri.

Profil figura berusia 27 tahun yang terkenal dengan rentak menakjubkan dalam setiap trek membuka mata ramai pencinta EDM untuk menjadi pengikut tegarnya.

ALAN WALKER terharu menerima lebih 50,000 mesej dalam tempoh lapan jam selepas berkongsi nombor telefon.

125 juta

Bukan sekadar 10 juta pengikut Instagram, menerusi platform digital, katalog lagunya diikuti lebih 125 juta pendengar yang menjadi bukti impak sentuhan muziknya.

Selepas beraksi di seluruh Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, Walker bakal singgah di Asia Tenggara menerusi siri jelajah Walkerworld Tour 2024.

Selain Indonesia dan Singapura, DJ yang mencetuskan fenomena global itu turut singgah di Kuala Lumpur bagi mempromosikan persembahan mega yang bakal diadakan pada 22 Jun ini.

Kental dengan identiti memakai pelitup muka, pemuzik tinggi lampai itu cukup teruja berkongsi cerita mengenai persembahan di Surf Beach Sunway Lagoon nanti.

“Pastinya saya tidak sabar beraksi di sini apatah lagi ramai peminat Malaysia yang memberikan maklum balas memberangsangkan menerusi media sosial.

“Dari situ saya tahu EDM mempunyai kelompok peminat tegar yang ramai di Kuala Lumpur, sekali gus saya berharap dapat menghimpunkan semua penggemar tegar genre ini.

“Melihat sambutan pada hari ini, saya pasti ramai yang enggan melepaskan peluang berkumpul di Sunway Surf Beach nanti,” katanya ketika ditemui selepas sidang media, baru-baru ini.

PELITUP muka sekadar identiti Alan Walker di atas pentas sejak muncul dengan lagu Faded. – AFIQ RAZALI

Teruja beraksi

Penerima trofi Lagu Terbaik menerusi Faded dalam BRIT Awards itu juga mengakui kesempatan bertemu peminat dari seluruh pelosok dunia juga membolehkannya berkongsi idea.

Menurutnya, jelajah tersebut membawanya berjumpa ramai kelompok individu yang sangat menghargai karya seni, termasuk EDM.

“Pengalaman berkunjung dari satu negara ke negara lain sangat indah, memupuk persefahaman dan membolehkan saya belajar budaya, seni masyarakat setempat.

“Macam Malaysia, negara ini sangat cantik selain mempunyai kepelbagaian budaya, cuma saya belum sempat jelajah banyak tempat.

“Mungkin selepas siri konsert disempurnakan saya dapat kembali ke sini untuk bercuti kerana saya dimaklumkan banyak tempat menarik, makanan pun sedap,” ujarnya tertawa.

ALAN Walker boleh dikatakan sebagai raja EDM yang kini menakluk dunia dengan rentak muziknya.

Puji Kuala Lumpur

Bibirnya juga tidak lekang memuji keindahan Kuala Lumpur dengan banyak bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat.

Tidak sah bertanyakan mengenai trademark penggunaan pelitup muka, Walker mengakui itu sekadar identiti di atas pentas sejak era lagu Faded lagi.

Katanya, bukan bertujuan menyembunyikan diri atau enggan dikenali, apabila di luar atau dalam laman sosial pun ramai mengenali wajah di sebalik topeng.

“Pelitup muka ini cuma identiti atas pentas, itu sahaja. Tidaklah mahu menutup muka sepanjang masa, di luar waktu kerja saya Alan Walker yang biasa.

“Ada juga yang tanya tak susahkah untuk saya bernafas ketika mengendalikan peralatan muzik mahupun beraksi di pentas mega, okey sahaja.

“Lucu juga mendengar komen, tetapi apabila sudah lebih sedekad kita dengan identiti ini, saya selesa dan orang ramai pun terima,” katanya sambil tertawa.

ALAN Walker singgah di Malaysia dan menggegarkan pentas bersama Robin Packalen, Sofiloud serta asal Indonesia, penyanyi OKU asal Indonesia, Putri Ariani.

Dapat 50,000 mesej

Turut ditanya mengenai keterbukaannya berkongsi nombor telefon baru-baru ini, ujarnya perkara tersebut dilakukan untuk mengajak peminat Malaysia, Singapura dan Indonesia hadir ke konsertnya.

Dedah Walker lagi, dalam tempoh lapan jam sahaja pihaknya meraih 50,000 mesej bahkan sehingga kini masih dihubungi peminat.

Katanya, perkongsian yang dibuat pada 14 May lalu membuktikan sokongan padu khalayak terutama dari rantau ini.

“Terima kasih atas sokongan. Tujuan berkongsi nombor telefon adalah untuk memeriahkan suasana menjelang konsert di Asia Tenggara.

“Saya terharu kerana dalam tempoh singkat lebih 50,000 mesej diterima bahkan maklum balas positif peminat masih rancak sampai sekarang hingga kami sudah hilang kiraan jumlah WhatsApp yang datang.

“Rata-rata menyatakan keterujaan menunggu konsert ini, tidak kurang yang bertanya mengenai persediaan, senarai lagu, barisan penyanyi dan pelbagai soalan lain,” tambahnya menutup bicara.

Turut menyerlah dengan single Alone dan Darkside, artis tersohor ini juga pernah berkolaborasi dengan Ava Max, Noah Cyrus, Sia, Bruno Mars dan Coldplay.

Di Malaysia, Walker bakal menggegarkan pentas bersama Robin Packalen dan Sofiloud serta peserta America’s Got Talent, Putri Ariani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN