Perkembangan mutakhir ini menunjukkan petanda buruk bagi kem badminton wanita Malaysia dan sesuatu yang serius perlu dilakukan segera jika tidak mahu terus diaibkan bukan sahaja di pentas dunia bahkan serantau.
Kejayaan Indonesia ke final bagi kedua-dua Piala Thomas dan Uber baru-baru ini sepatutnya sudah cukup membuka mata betapa seiringnya mereka, sedangkan kita terlalu jauh jurang pencapaian skuad badminton lelaki dan wanita.
Setelah jaguh-jaguh wanita Thailand membantai Malaysia 5-0 di peringkat kumpulan, Indonesia yang dibarisi sebahagian besar pemain muda mampu menundukkan Thailand 3-0 di suku akhir.
Penulis kira kekalahan memalukan di Sukan SEA (2023) 3-0 kepada Filipina dan terdahulu 3-1 kepada Vietnam (2021) sepatutnya sudah cukup membuatkan badan badminton menekan butang panik, tetapi nampak gayanya masih sama dan hampir tiada sebarang perubahan.
Jangankan kita mahu melahirkan jaguh sehebat Datin Wong Mew Choo atau Goh Jin Wei, mahu hasilkan pemain seperti Soniia Cheah (pingat perak Sukan SEA 2017) atau Kisona Silvaduray (pingat emas Sukan SEA 2019) yang masih boleh menyinar di Sukan SEA pun kini sudah terkulai layu. Apa sudah jadi?
Di Malaysia Masters baru-baru ini dua pemain perseorangan wanita BAM, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching gagal melepasi pusingan kelayakan. Penampilan kali kedua Siti Nurshuhaini Azman di Uber juga gagal menampakkan impak.
Lebih meresahkan apabila sandaran utama negara beregu wanita, Pearly Tan dan M. Thinaah mula menunjukkan penurunan prestasi sehingga satu per satu lawan yang dahulu pernah dikalahkan kini mampu menguasai mereka.
Ini terbukti apabila Thinaah sendiri mencetuskan kegemparan dengan ‘tanda tanya bergelut putus asa’ di media sosialnya baru-baru ini.
Percaya atau tidak, di belakang Pearly-Thinaah, kita seolah-olah tidak ada satu pun pada masa ini gandingan tetap back up untuk dipertaruhkan! Bagi penulis, gandingan yang sentiasa berubah-ubah ini bukan sahaja menyukarkan pemupukan keserasian bahkan menjejaskan pendakian ranking.
Kita juga terus menagih kudrat perseorangan profesional Jin Wei biarpun dia kini menderita masalah kesihatan berikutan belum ada yang dilihat mampu menggalas ‘posisinya’.
Kesimpulannya, berilah lebih tumpuan segera, fikirlah formula atau strategi apa yang boleh dibuat untuk memperkasa skuad badminton wanita. Muktamadkan gandingan (bagi beregu), pergiat penyertaan di kejohanan kecil agar ranking mereka naik dan tidaklah terkejut apabila tiba-tiba bertembung ‘gergasi’ di Uber.
Seorang pencari bakat badminton, Wilson Chew di media sosialnya mengulas hakikat yang tidak disedari ramai mengapa tiada seorang pun bekas pemain wanita kebangsaan yang bersuara tentang prestasi skuad wanita sekarang.
“Tahap diam mereka sungguh menyakitkan. Ia bukan salah bekas-bekas pemain ini tetapi kita semua tahu keutamaan sentiasa kepada lelaki. Kualiti jurulatih, program latihan sangat berbeza dan jurang dapat dilihat dengan jelas pada cara mereka menjalani latihan.”
Apakah ini juga ‘jawapan’ di sebalik prestasi buruk ini?














