KUALA LUMPUR – Keluarga remaja orang kelainan upaya (OKU) yang terpaksa mengutip botol dan tin kosong untuk kelangsungan hidup berdepan satu lagi ujian berat apabila pemilik rumah tempat mereka berteduh berhasrat mahu menjual kediaman itu tidak lama lagi.
Ibu mereka, Noraniza Abdul Wahab, 36, berkata, tuan rumah dan ejen hartanah sudah memaklumkan perkara itu, namun tidak pasti bila mereka akan keluar dari rumah.
Katanya, mereka sudah selesa menetap di situ memandangkan ia berdekatan dengan hospital dan sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi untuk tiga anak OKUnya.
“Rumah ini saya bayar sewa menggunakan duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal. Kami selesa walaupun tiada perabot.
“Agak susah mahu cari sekolah yang ada program itu dan kalau perlu pindah, saya tidak pasti lokasi yang berdekatan dengan kemudahan tersebut,” luahnya ketika ditemui.
Terdahulu, Noraniza menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan baucar RM1,000 berbentuk barangan keperluan dan makanan bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.
Menurut Noraniza, Baitulmal meletakkan syarat rumah yang disewa, elektrik dan air mestilah dengan nama tuan rumah dan bukannya melalui ejen sekiranya mahu memohon bantuan.
“Doktor juga sarankan cermin mata anak lelaki, Ahmad Zikri Hakim Zulkarnain, 10, yang ada penyakit jantung sejak kecil ditukar jika tidak mahu matanya rosak,” katanya.
Noraniza memberitahu, dia mahu cuba berniaga secara online bagi meraih pendapatan keluarga.
“Kalau nak bekerja, saya risau akan pitam tanpa sedar, jadi kalau boleh berniaga secara online atau jadi ejen dropship,” katanya.
Tambah Noraniza, dia kesal dan sedih apabila ada yang mengatakan dia sengaja memaksa anak untuk mengutip botol dan tin kosong sehingga meraih simpati daripada orang ramai.
“Saya menangis baca komen-komen di Facebook, ada yang kata saya seolah-olah zalim kerana biarkan anak kecil kutip botol di tong sampah, sedangkan saya bersenang-lenang di rumah. Mereka kata saya gunakan anak, tak ada kerja lain tempat sampah juga nak kutip, berderau darah saya baca tu.
“Kalau saya sihat, saya tak suruh anak hidup susah begini, saya pun sedih tengok keadaan mereka tapi apakan daya, ini sudah takdir hidup saya,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Surau Nur Al-Ihsan, Seksyen 2 Wangsa Maju, Mohamad Noor Hafiz Kamarulzaman, 29, berkata, pihaknya sedia menyalurkan sumbangan dan membantu keluarga itu.
“Kami tidak akan biarkan adik Ainul Mardhiah kutip botol dan tin kosong di tong sampah lagi, jika dia perlukan apa-apa, pihak surau sedia membantu dan memberi pertolongan walaupun tanpa diminta,” katanya.














