GAMBAR HIASAN

Tiada undang-undang wajibkan pelajar ambil SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan disaran menyegerakan cada­ngan mewajibkan pendidikan sehingga peringkat menengah membabitkan tempoh 11 tahun persekolahan bagi memastikan setiap pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, setakat ini tiada undang-undang menghalang mereka yang berusia 17 tahun untuk tidak menduduki SPM dan akta sedia ada hanya mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun.

“Tiada undang-undang menghalang mereka yang berusia 17 tahun untuk tidak bersekolah mahupun menduduki SPM,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan dalam peringkat akhir meminda Akta Pendidikan 1996 (Pindaan) 2002 bagi mewajibkan pendidikan sehingga pada peringkat menengah yang membabitkan tempoh 11 tahun persekolahan.

Inisiatif itu adalah antara langkah serius kerajaan dalam menangani masalah keciciran pelajaran, di samping program intervensi lain oleh KPM bagi mengatasi isu berkenaan.

Mengulas berhubung seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan, Anuar berkata, tidak yakin boleh lulus antara faktor sebilangan calon tidak menduduki peperiksaan itu.

Menurut beliau yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, faktor lain yang mendorong pelajar tidak menduduki SPM adalah kerana telah memasuki alam pekerjaan.

“Berdasarkan pemerhatian, yakin tidak lulus faktor terbesar bagi pelajar yang tidak hadir peperiksaan SPM.

“Faktor lain seperti masalah keluarga, sakit dan sebagainya, namun majoriti adalah kerana percaya mereka tidak akan lulus jika mengambil peperiksaan tersebut.

“Sebahagian mereka juga sudah bekerja seperti menjadi pembantu kedai dan penghantar makanan. Ini biasanya berlaku dalam kalangan pelajar daripada keluarga miskin,” katanya.

Menurutnya, tanpa sijil SPM adalah sukar untuk pelajar mendapatkan pendidikan lebih baik demi menjamin masa depan.

“Golongan pendidik perlu memberi perhatian terhadap pelajar lemah dalam pelajaran supaya ada keyakinan untuk menduduki SPM.

“Pelajar perlu juga difahamkan meskipun tanpa kelulusan SPM yang cemerlang, masih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pengajian sekiranya memiliki sijil berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN