SETELAH lebih sedekad berkelana di Kuala Lumpur, itu kali pertama kali Ezra Jalil berkesempatan memperagakan pakaian tradisional etnik Iban di tengah-tengah ibu kota.
Persalinan tradisional lelaki Iban itu dilengkapi dengan baju gagong, baju burung, sirat, lanjang, mahkota, selampai manik dan rantai tengkorak.
Sesekali, lelaki dari Kuching, Sarawak itu ditahan oleh orang awam yang ingin mengetahui berkenaan busana warisan etnik terbesar di Bumi Kenyalang.
Jelasnya, pengalaman itu merupakan ruang terbaik buat masyarakat di Semenanjung mengenali etnik Borneo dengan lebih dekat.
“Etnik Iban dibahagikan kepada pelbagai suku kaum mengikut Sungai Rajang. Pakaian yang saya pakai ini mewakili mereka yang tinggal di Sibu sehingga Limbang.
“Ramai sebenarnya yang bertanya tentang baju gagong. Mereka teruja apabila mengetahui bahawa ia diperbuat daripada kulit rusa sebenar,” katanya kepada K2.
Ezra merupakan salah seorang daripada 150 peserta yang dibawa ke Bukit Bintang dengan menaiki bas untuk melakukan acara Perarakan Budaya Borneo.
Acara tersebut merupakan salah satu agenda Borneo Native Festival (BNF) yang berlangsung selama tiga hari di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
BNF dianjurkan oleh Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur dengan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Kementerian serta Kementerian Ekonomi.
Penganjuran diadakan bersempena Pesta Kaamatan di Sabah pada 30 dan 31 Mei serta Hari Gawai di Sarawak pada 1 hingga 2 Jun ini.
Selain perarakan Borneo, antara aktiviti yang turut diadakan adalah persembahan nyanyian, forum, pertandingan tarian serta aneka jualan barangan Borneo dan lokal.
Bagi kumpulan pemuzik dari Sabah, Tompuvan, peluang mempersembahkan muzik tradisional Borneo di hadapan warga Semenanjung buat pertama kali sememangnya satu pengalaman luar biasa.
Kumpulan dengan tujuh anggota itu datang dari pelbagai latar belakang etnik seperti Iban, Rungus, Sungai, Kedayan, Tidung dan Bajau.
Antara alat muzik tradisional yang digunakan adalah sekafi, tongkungon, kulintangan, serunai buluh, sompoton, drum, alat perkusi, saksofon, gitar elektrik, keyboard dan bes.
Menurut pemain sekafi, Daniel Filex James, penerimaan pengunjung di BNF sangat memberangsangkan biarpun mereka hanya memainkan muzik tradisional tanpa lirik.
“Kami memainkan muzik jenis eksperimental dengan menggabungkan alat muzik tradisional dari Borneo bersama alat muzik moden.

“Kami agak terkejut melihat pengunjung di sini. Mereka sangat menikmati persembahan kami walaupun sebenarnya ia agak asing bagi mereka,” jelasnya.
Sementara itu, pemain bes, Rojan Jamun berkongsi bahawa lagu mereka berjudul Rise and shine merupakan gubahan asli yang dimasukkan sedikit lagu rakyat dari Sabah.
Katanya, ia bagi menaikkan semula lagu rakyat di pulau tersebut biarpun kebanyakannya sudah lenyap ditelan arus kemodenan.
“Zaman sekarang, anak-anak muda di Borneo sudah tidak tahu dengan lagu rakyat mereka.
“Oleh itu, kami cuba menyelitkan elemen lagu rakyat.
“Kami dibesarkan pada zaman lagu rakyat masih lagi didendangkan. Ia merupakan salah satu usaha untuk melestarikan warisan nenek moyang kami,” katanya.
Berdasarkan sejarah, Sabah, Sarawak (dan Singapura) bergabung dengan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
Manakala penduduk Sarawak terdiri daripada 27 kumpulan etnik besar dan memiliki sekurang-kurangnya 45 bahasa serta dialek berbeza.
Bagaimanapun, pada 2022, laporan media tempatan mendakwa bahawa Sabah dijangka mengalami kepupusan kira-kira 30 peratus bahasa etnik.
Kenyataan itu didedahkan oleh bekas Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Datuk OKK Titing Putang yang mengklasifikasikannya sebagai ancaman zon kuning.
Sementara di Sarawak, laporan pada tahun lalu menyenaraikan bahasa etnik Miriek, Kelabit dan Punan sebagai terancam.
Lebih membimbangkan, terdapat juga bahasa etnik minoriti Sarawak yang kini berada ‘diambang bahaya’ iaitu bahasa Kiput, Narom dan Selakau.
Kehilangan bahasa warisan tersebut terjadi akibat perkahwinan campur dan arus modenisasi yang membuatkan gaya hidup sesuatu etnik tidak lagi diamalkan.
Menurut pengarah BNF, Rafie Syazwan Arpandi, penganjuran acara tahunan tersebut diharapkan dapat memperkayakan lagi budaya masyarakat Borneo di Semenanjung.
“Ramai dalam kalangan masyarakat Borneo melakukan migrasi ke Semenanjung untuk mencari rezeki. Disebabkan kos pengangkutan, mereka jarang pulang ke kampung.
“Hal ini menyebabkan mereka terputus hubungan dengan budaya etnik di sana.
“Jadi, kami bawa Pesta Kaamatan dan Hari Gawai ke Semenanjung.
“Usaha ini juga memberi peluang kepada pelbagai etnik di Semenanjung untuk mengenali budaya masyarakat Borneo dengan lebih baik,” katanya.
Setakat 2022, terdapat lebih kurang 250,000 komuniti Borneo direkodkan menetap di Semenanjung untuk mencari rezeki.
Angka itu sentiasa bertambah memandangkan Semenanjung merupakan lubuk rezeki buat warga tempatan dan serantau.
Tambahnya, acara sedemikian mampu mengatasi sentimen politik melibatkan Sabah dan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan yang masih lagi berpanjangan.
“Majoriti kami tidak terlibat dengan politik dan hanya mahu hidup harmoni bersama sebagai warganegara Malaysia.
“Sebagai anak muda, kami mahu berkongsi budaya seperti muzik, juadah, bahasa dan sebagainya.
“Ini seharusnya menjadi sebahagian daripada misi perpaduan nasional di Malaysia,” ujarnya.














