JARANG kita dapat lihat seseorang mahu berkongsikan pengembaraan melancong ke Mesir.
Kalau ada pun, kebiasaannya trip tersebut termasuk dalam pakej umrah.
Mesir sebuah negara yang dikatakan unik serta mempunyai sejarahnya tersendiri.
Idea asal trip saya ke Mesir daripada ibu, Normadiah.
Dia selalu bercerita kepada saya tentang sejarah-sejarah Islam yang ada di Mesir.
Mesir tidak sama seperti kita melancong di negara Eropah terutamanya dari segi pengangkutan kerana setiap kawasan terlalu jauh, bahkan ada sampai beribu kilometer dan berbahaya.
Setiap daerah memerlukan kebenaran daripada polis. Kita juga perlu menggunakan tour guide (pemandu pelancong) sama ada secara kumpulan (bas) atau persendirian (van atau kereta).
Saya pula menggunakan khidmat tour guide pelajar Malaysia di sana.
Tempat pertama yang kami lawati adalah tujuh keajaiban dunia kuno yang masih wujud sehingga hari ini iaitu Pyramid of Giza dan The Great Sphinx.
Di sini juga terdapat perkhidmatan unta untuk ditunggang. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman tersebut.
Selain itu, pengalaman yang paling sukar untuk saya lupakan sepanjang trip ke Mesir adalah mendaki Bukit Sinai atau dikenali sebagai Jabal Musa.
Bukit ini merupakan lokasi di mana turunnya wahyu kepada Nabi Musa AS (Kitab Taurat).
Ia juga merupakan tempat Nabi Musa pernah berbicara dengan Allah SWT.

Ketinggian Bukit Sinai adalah 2,285 meter dan perjalanan mendaki ke puncak Jabal Musa memakan masa lebih kurang tiga sehingga lima jam.
Anda boleh menggunakan perkhidmatan menyewa unta bagi menaiki bukit sehingga ke puncak pos rehat terakhir.
Perkhidmatan ditawarkan 150 LE (RM15) seorang dan mengambil masa dalam 45 minit.
Pada pukul 4 pagi, saya sampai ke puncak Jabal Musa dan dapat melihat terbitnya matahari.
Tidak boleh digambarkan perasaan saya ketika menyaksikan keindahan ciptaan Ilahi itu.
Kekaguman dan keasyikan menyaksikan keagungan ciptaan Tuhan membuatkan segala penat pendakian hilang begitu sahaja.
Selain itu, saya berpeluang melihat keindahan Faiyoom iaitu bandar yang terkenal sebagai paling subur di Mesir.
Bandar itu dipertanggungjawabkan kepada Nabi Yusuf AS ribuan tahun lalu.
Di samping itu, saya tidak lepaskan peluang melihat sungai yang terpanjang di dunia iaitu Sungai Nil.
Di Malaysia, saya suka menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) sama ada di pantai mahupun bukit.
Disebabkan itu, saya mencuba ATV di padang pasir iaitu Dahab Egypt.
Di Mesir, anda tidak perlu risau tentang makanan. Jika anda tidak boleh makan makanan Arab, jangan risau terdapat sajian Melayu, Thailand, Filipina, Indonesia dan Cina.
Dengan menjejakkan kaki di Mesir, anda pasti dapat menghidupkan kembali memori dan pengetahuan yang telah dipelajari semasa di bangku sekolah.
Nasihat saya, walaupun hanya sekali dalam seumur hidup, pergilah melancong ke Mesir.














