fbpx

1MDB: Pendakwaan tutup kes selepas 235 hari perbicaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Selepas 235 hari perbicaraan yang memakan masa selama enam tahun, perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya ditutup.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan.

“Disebabkan tiada lagi saksi yang perlu dipanggil (memberi keterangan), tiada lagi saksi yang perlu disoal balas, jadi saya ingin menutuo kes pendakwaan.

“Selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan telah dipanggil, pihak pendakwaan ingin menawarkan 49 orang saksi kepada pembelaan termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah,”kata Ahmad Akram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan hujahan lisan pada 19 hingga 22 Ogos sebelum bersambung selama lapan hari pada September ini.

Perbicaraan kes itu, bermula pada 28 Ogos 2019 dengan saksi pertama pendakwaan Datuk Dr. Farizah Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri.

Saksi terakhir pendakwaan ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 September 2018 sebelum kes dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober 2018.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Bekas Ahli PArlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI