fbpx

Untung AmBank naik 9% kepada RM1.87 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling.

PETALING JAYA – AMMB Holdings Berhad (Kumpulan AmBank) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak 9.3 peratus lebih tinggi kepada RM1.868 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (TK24).

Jumlah pendapatan Kumpulan untuk TK24 sebanyak RM4.646 bilion secara amnya sejajar dengan TK23, walaupun terdapat kesan mampatan pada margin faedah bersih (NIM) (TK24: 1.79 peratus, TK23: 2.07 peratus).

Pendapatan faedah bersih Kumpulan merosot 6.7 peratus kepada RM3.304 bilion, manakala pendapatan bukan faedah (NoII) menghasilkan pertumbuhan kukuh sebanyak 14.7 peratus kepada RM1.342 bilion, membantu mengimbangi kesan pemampatan NIM.

Pertumbuhan NoII disumbangkan terutamanya oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada perbankan pelaburan, dana dan pengurusan kekayaan, serta pendapatan pelaburan lebih baik dan keuntungan perdagangan daripada pendapatan pasaran dan perbendaharaan kumpulan (GTM) dan tukaran asing (FX) daripada perbankan perniagaan dan perbankan runcit.

Kumpulan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 16.6 sen sesaham, menghasilkan dividen tahunan sebanyak 22.6 sen sesaham untuk TK24 yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen sebanyak 40 peratus (TK23: 35 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pihaknya telah memberikan keputusan yang baik dengan PATMI berjumlah RM1.87 bilion, dan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 10 peratus.

Jelasnya, kunci kira-kira Kumpulan berada dalam keadaan baik dan pihaknya turut menambah baik nisbah modal serta mengisytiharkan kenaikan 23 peratus dalam dividen tahunan untuk TK24.

“Kami menjangkakan pasaran kewangan global akan kekal tidak menentu, yang tertumpu pada tinjauan inflasi dan hala tuju dasar monetari serta kadar faedah global.

“Selain itu, pemacu permintaan luar telah bertambah baik walaupun dalam ketegangan dan konflik geopolitik yang berterusan.

“Pada peringkat domestik, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar empat hingga lima peratus untuk ekonomi Malaysia pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta penambahbaikan pasaran buruh yang memacu penggunaan.

“Kumpulan turut menutup fasa strategi Fokus 8 dengan jayanya, memberikan peningkatan sekitar RM5 bilion dalam permodalan pasaran antara TK21 dan TK24,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI