TANJUNG MALIM – Adik perempuan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, Nur Azza Assyaadah, 19, bakal mengikut jejak langkah abangnya apabila lulus sesi temu duga bagi perjawatan polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh pada Selasa lalu.
Bapa mereka, Azhar Khaiden, 54, berkata, sesi temu duga berkenaan berjalan lancar sebelum anaknya, Nur Azza Assyaadah atau mesra dipanggil Assyaadah dimaklumkan lulus dan akan menjalani latihan di pusat latihan polis yang akan ditentukan kelak.
“Saya amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusan. Asbab musabab daripada tragedi yang menimpa arwah (Ahmad Azza Fahmi).
“Assyaadah saya harap menjadi seperti Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi yang berkhidmat dan berjuang untuk negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Azhar memberitahu, isterinya, Nor Haliza Awaludddin, 49, turut melahirkan rasa syukur apabila menerima perkhabaran tersebut dan menyatakan setiap ibu dan bapa ingin yang terbaik bagi anaknya.
“Tiada lagi yang saya minta kecuali semua urusan anak-anak dipermudahkan selain berjaya di dunia dan akhirat.
“Kita sebagai bapa memberikan yang terbaik kepada mereka dengan keizinan Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, permohonan pertukaran anaknya, Ahmad Azza Fitri bagi mengubat kesedihannya kerana kehilangan adiknya sekali gus memberi semangat kepada ibunya.
Azhar yang bertugas di Sabah sebelum ini pernah meluahkan dirinya tidak terkilan dengan kerjaya pilihan Ahmad Azza Fahmi malah berbangga apabila memilih untuk menjadi anggota polis.
Kosmo! pada 17 Mei lalu melaporkan dua anggota polis berpangkat konstabel maut, manakala seorang lagi parah dalam serangan berdarah ke atas Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seorang suspek warga tempatan turut terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di balai berkenaan.
Dua anggota polis yang terkorban ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang merupakan anggota prowler di balai berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian serangan ke atas anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram itu dipercayai untuk melakukan rampasan senjata api.














