fbpx

e-Invois dilaksana Julai 2025, bukan 1 Ogos ini – LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan pelaksanaan e-Invois bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bermula pada 1 Julai 2025 dan bukannya 1 Ogos ini.

LHDN dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos ini hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Menurut LHDN, tiada keperluan pada masa ini untuk syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.

“Sehubungan itu, PMKS boleh meneruskan perniagaan seperti amalan biasa dan tidak perlu mengeluarkan e-Invois mulai 1 Ogos ini.

“Secara amnya, pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois, tiada keperluan untuk mana-mana pembayar cukai mendapatkan e-Invois sebagai bukti bagi tujuan tuntutan perbelanjaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa PMKS perlu mengeluarkan e-Invois kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta mulai 1 Ogos 2024.

Jelas LHDN, bagi membantu dan memudahkan pengemukaan e-Invois, pihaknya menyediakan Portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS) yang boleh digunakan secara percuma oleh PMKS untuk semua transaksi termasuk sebarang pindaan.

“PMKS juga hanya perlu mengisi enam daripada 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois dan maklumat lain akan dipraisi secara automatik.

“Dalam tempoh satu tahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois pada 1 Julai 2025, pihak LHDN akan mengambil pendekatan secara aktif dalam menjalankan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan mengenai penalti bagi ketidakpatuhan pelaksanaan e-Invois, LHDN menjelaskan bahawa kadar penalti minimum yang boleh dikenakan adalah RM200 sehingga kadar maksimum RM20,000 dan pengenaan penalti adalah bergantung kepada setiap fakta kes.

“Walau bagaimanapun, LHDN akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada PMKS apabila bermulanya pelaksanaan penuh e-Invois nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan dakwaan Ka Siong bahawa data berpusat e-Invois ini bakal menjadi sasaran penggodam, LHDN menegaskan bahawa kerahsiaan, privasi dan perlindungan data pembayar cukai adalah menjadi keutamaan dalam semua urusan percukaian mahupun e-Invois.

“LHDN mematuhi piawaian antarabangsa melalui pensijilan ISO/IEC 27001; Information Security Management System (ISMS), ISO 223001; Business Continuity Management System (BCMS) dan lain-lain piawaian berkaitan.

“LHDN menjalankan Security Posture Assessment (SPA) secara berkala dengan pihak ketiga yang dilantik termasuklah sentiasa bekerjasama dengan pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan sistem MyInvois berada pada tahap optimum serta mengatasi risiko ancaman penggodam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI