PUTRAJAYA – Tindakan segelintir ibu bapa menggunakan kanak-kanak untuk menjaja atas alasan membantu keluarga mencari pendapatan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mengeksploitasi anak sendiri.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, rata-rata golongan bawah umur itu dilihat mula berniaga seawal pukul 4 petang dengan menyasarkan lokasi tumpuan seperti laluan kaki lima dan kedai-kedai makan.
Antara barangan yang diniagakan termasuk kek coklat, buah-buahan, makanan dan minuman ringan.
Seorang kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad, 13, berkata, dia sudah berniaga sejak tahun lalu di kaki lima di ibu negara bagi meringankan beban keluarganya.
“Saya berniaga pada waktu petang dan malam untuk cari wang saku dan menampung belanja harian. Ibu suri rumah dan hanya mengharapkan gaji ayah, jadi tak cukup.
“Saya ambil keputusan untuk jual buah-buahan selepas balik sekolah. Saya berniaga Isnin hingga Jumaat bermula pukul 4 petang hingga 10 malam,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Muhammad, dia ikhlas membantu keluarga mencari pendapatan tambahan meskipun pada mulanya ibu menegahnya.
Tambahnya, dia akan pula segera jika jualan habis awal dan balik lewat jika tidak laku.
Seorang lagi peniaga kanak-kanak, Ali, 11, turut memberikan alasan sama ketika ditanya mengapa dia menjaja.
“Saya keluar rumah pada pukul 9 malam untuk jual 30 bekas dadih pada harga RM2. saya ambil upah 50 sen bagi setiap bekas dadih yang dijual,” katanya.
Menurut Ali, dia hanya mahu membantu ibu dan ayahnya dan pada masa sama mahu mendapatkan duit belanja untuk ke sekolah.
“Awalnya, memang malu untuk meniaga, tetapi sebab mahukan duit belanja, saya tetap jual tanpa peduli apa kata orang,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai cara membahagikan masa, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia akan mengulang kaji pelajaran selama dua jam sebelum keluar berniaga.
“Memang agak penat sebab perlu sekolah, ulang kaji dan siapkan kerja sekolah. Tetapi saya tetap akan ulang kaji sebelum berniaga.
“Kalau ikutkan masa memang cukup untuk semua. Jadi, daripada duduk rumah tidak buat apa-apa baik cari duit,” ujarnya.
Bagi seorang lagi peniaga kanak-kanak yang mahu dikenali sebagai Daniel, 11, memberitahu, dia bertindak meniaga kek coklat bagi membantu meringankan kos perubatan ditanggung neneknya.
“Saya mahu bantu mengubati sakit nenek, jadi saya akan meniaga pada waktu malam untuk mendapat wang tambahan,” ujarnya.














