SEBELUM kematian ibunya, rumah pusaka didiami oleh seorang pemuda yang ingin dikenali sebagai Aiman itu biasa sahaja dan tidak pernah berlaku sebarang gangguan.
Namun, setelah ibunya meninggal dunia, Aiman terus tinggal di rumah pusaka peninggalan neneknya itu.
“Saya seorang sahaja yang tinggal di rumah ini memandangkan adik-adik perempuan saya semuanya telah berkahwin dan tinggal bersama suami masing-masing.
“Jadi, saya bersendirian tinggal di rumah ini kerana masih belum berkahwin,” katanya yang kini berusia awal 30-an.
Aiman juga menjelaskan, setelah lebih enam bulan ibunya meninggal dunia, dia mula merasakan seperti ada ‘penghuni’ lain yang menumpang di dalam rumah tersebut.
Aiman dapat merasakan seperti ada mata yang sedang memerhati dirinya di dalam rumah tersebut.
Malah setiap malam, dia berhadapan dengan gangguan yang kurang menyenangkan.
“Rumah pusaka saya ini dua tingkat dan saya jarang naik ke bahagian atas. Saya sering tidur di ruang tamu.
“Setiap malam, saya dapat dengar seperti ada orang berjalan di bahagian atas rumah memandangkan lantai rumah atas diperbuat daripada kayu.
“Bukan itu sahaja, saya sering mendengar pintu bilik di atas rumah sering dibuka dan ditutup,” jelasnya.
Tambahnya, ada ketikanya, dia terdengar suara seperti mengilai di ruang atas rumahnya itu.
Pada masa sama, dia juga ternampak kelibat susuk seseorang berdiri di tangga dalam rumahnya pada waktu malam.
“Sekali pandang, saya lihat kelibat yang berdiri di tangga itu seperti arwah nenek saya.
“Disebabkan rasa takut, saya terus keluar rumah dan tumpang tidur di rumah kawan saya pada malam itu,” katanya.
Selepas malam itu, Aiman sering diganggu dan ada ketikanya, dia berasa seperti ditindih satu benda berat ketika tidur.
Aiman juga semakin kerap melihat susuk menyerupai nenek dan ibunya yang sedang berdiri serta merenungnya.
“Ada satu kejadian di mana saya sedang tidur dan merasa seperti ada benda yang menghimpit saya.
“Apabila saya buka mata, betul-betul di hadapan saya adalah lembaga yang berambut panjang. Saya tidak nampak wajahnya dengan jelas.
“Dalam keadaan terkejut, saya terus memejamkan mata. Kemudian, saya membaca beberapa surah dengan kuat untuk menghalau makhluk itu,” ujarnya.
Aiman berkata, dia ada menceritakan tentang gangguan tersebut kepada rakan-rakannya.
Salah seorang rakannya ingin merasai gangguan itu dan mahu menumpang tidur di rumah Aiman.
“Saya mencabarnya untuk tidur di sebuah bilik di bahagian atas rumah saya.
“Dia setuju dan sekitar pukul 12 malam kawan saya naik tidur di atas.
“Saya berada di bahagian bawah, dua jam selepas itu, kawasan saya lari turun.
“Dengan muka pucat, dia mengatakan ingin pulang ke rumah.
“Rakan saya beritahu, dia ‘diganggu’ di dalam bilik itu.
“Dia melihat sendiri beberapa lembaga di dalam bilik tersebut.
“Ini termasuklah kelibat susuk berbulu hitam dan bertaring,” katanya.
Selepas peristiwa itu, Aiman ada menceritakan hal tersebut kepada orang lama di kampungnya.
“Orang tua itu mengatakan, nenek saya mempunyai ‘pendamping’ bagi menjaga keluarganya.
“Setelah nenek saya meninggal dunia, ibu saya yang menjadi tuannya. Selepas ibu saya meninggal, tidak ada siapa yang ingin mewarisinya.
“Oleh sebab itu, saka itu sering berkeliaran dan mengganggu orang yang ada di dalam rumah saya,” jelasnya.
Aiman juga menjelaskan, salah seorang adik perempuannya juga menceritakan bahawa ibu mereka ada memberi ‘sesuatu’ kepadanya untuk diwarisi.
Bagaimanapun, adiknya menolak dan tidak mahu mengambil saka yang ingin diwariskan itu.
Selepas itu, Aiman terpaksa meminta pengamal perubatan untuk membuang ‘makhluk’ yang ada di dalam rumahnya agar dia tidak lagi diganggu.
Setelah beberapa kali sesi ‘rundingan’, saka yang berasal daripada neneknya itu berjaya dibuang.
Kini, dia tidak lagi takut berhadapan dengan sebarang gangguan di rumah itu, biarpun menetap seorang diri.















