PUTRAJAYA – Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari tahun lalu masih dijual di rangkaian kedai makan terlibat sehingga kini dan mendapat permintaan memberangsangkan daripada orang ramai.
Menurut Sekretariat Program Menu Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihaknya menerima maklum balas positif daripada rakyat dan peniaga mengenai program yang bertujuan membantu setiap rakyat terutama golongan B40 dengan hidangan berharga RM5.
Jelasnya, rata-rata orang ramai mahu pelaksanaannya diteruskan.
“Melalui kajian impak dijalankan mendapati rakyat terus berharap agar inisiatif berkenaan dapat menarik lebih ramai peniaga menawarkan Menu Rahmah.
“Ketika ini, inisiatif itu masih dijalankan oleh peniaga, namun mereka berharap kerajaan dapat membantu menawarkan insentif kepada pengusaha terlibat,” katanya kepada Kosmo! di ini semalam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan kerajaan terhadap inisiatif Menu Rahmah itu, jelasnya, KPDN telah memperkenalkan Kad Diskaun Khas kepada peniaga yang menawarkan menu berkenaan.
Jelasnya, kad itu boleh dipohon melalui portal Menu Rahmah di laman sesawang milik KPDN.
“Bagi tujuan menggalakkan lagi lebih ramai pengusaha makanan menawarkan Menu Rahmah ini, satu Program Advokasi dan Promosi Menu Rahmah Madani dengan misi 1 Peniaga 1 Menu Rahmah telah dilaksanakan bermula awal Mei lalu.
“Program itu dilaksanakan di 12 lokasi seluruh negara bermula di Perlis,” ujarnya.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan Menu Rahmah yang dijual bagi membantu meringankan beban orang ramai ketika ini dilihat semakin sukar didapati selepas sebilangan peniaga menghentikan penjualan hidangan berharga RM5 itu.
Tinjauan mendapati, keputusan untuk tidak meneruskan lagi inisiatif tersebut berikutan kurang mendapat sambutan selain tidak mampu menanggung kos bahan mentah yang tinggi.
















