fbpx
BEGINILAH keadaan jalan masuk ke perkampungan Orang Asli Pos Senderut, Hulu Jelai, Lipis yang rosak teruk setiap kali musim hujan.

Pernah ‘down’ mengajar di pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Melalui jalan balak yang teruk dan berlumpur hampir tiga jam untuk sampai ke sekolah antara pengorbanan besar guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sen­derut di perkampungan Orang Asli Pos Senderut, Hulu Jelai dekat sini.

Menurut bekas guru besar sekolah berkenaan, Abd. Manaf Mat, 60, laluan itu menjadi semakin teruk apabila musim hujan dengan dipenuhi lumpur seolah-olah kawasan ‘sawah padi’.

Mengimbau kenangan ketika mula-mula berkhidmat di sekolah itu, dia memberitahu, ketika melaporkan diri dia me­numpang lori kecil yang menghantar sayur dan barang runcit ke situ dan sebilangan guru berkonvoi motosikal sejauh 170 kilometer dari Kuala Lipis.

“Keadaan jalan balak yang teruk lebih-lebih lagi pada waktu hujan menyebabkan perjalanan memakan masa tiga jam untuk tiba di kampung tersebut.

“Jalan masuk ke kampung tersebut dan sekolah di situ sinonim dikenali sebagai laluan balak masih ditakuk lama, iaitu jalan kerap rosak dan berlumpur selepas hujan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Abd. Manaf yang sudah bersara pada 10 Januari lalu berkata, dia dan guru sekolah itu berdepan kesukaran keluar dan masuk ke kampung itu sejak dahulu lagi.

Katanya, walaupun sekolah Orang Asli di pedalaman sudah dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk talian internet, tetapi keadaan jalan masih ketinggalan zaman yang perlu diutamakan oleh kerajaan bukan sahaja untuk sektor pendidikan, malahan bagi kemudahan penduduk setempat berulang-alik ke bandar.

Ujarnya, guru sekolah tersebut yang menunggang motosikal kerap kali mengalami tayar pancit, rim rosak dan motosikal terbalik akibat licin.
Bagaimanapun katanya, cabaran itu tidak mematahkan semangat guru untuk bertugas, malahan ia menjadi pengalaman berharga dalam hidup.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN