MINGGU lalu, penulis berkesempatan untuk menghadiri Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) Asia 2024.
Pameran yang berlangsung bermula 6 hingga 9 Mei di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur itu jika diteroka pasti kita akan menemui ‘permata’ yang jarang kita dengar dan temui.
Permata yang dimaksudkan adalah keupayaan yang dimiliki anak tempatan sama ada dari segi teknologi dan juga inovasi.
Menariknya, mereka ini bukan sahaja dapat membuka mata rakyat tempatan, malah mampu bersaing dan produk mereka setaraf dengan syarikat antarabangsa.
Sebagai contoh, penulis sempat menemu bual sebuah syarikat yang mencipta rak untuk penyimpanan senjata api dan bom.
Apa yang menarik tentang syarikat yang berpangkalan di Kota Damansara, Petaling Jaya itu, teknologi mereka telah digunakan oleh pasukan keselamatan negara jiran iaitu Singapura.
Teknologi yang dimaksudkan adalah sistem penyimpanan senjata api pintar (SWS) yang kini menjadi pilihan Pasukan Polis Singapura (SAF).
Menurut Pengarah Teknikal SWS Inntech, Brian Lew, pihaknya menggunakan teknologi pintar teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Internet Pelbagai Benda dan biometrik untuk menyimpan dan pengurusan senjata api.
Jelasnya, SAF memilih sistem penyimpanan senjata api tersebut yang dinamakan sebagai Automated Armoury System.
“Sistem itu menggunakan pengenalan RFID dan teknologi pengesahan dua faktor (2FA) untuk membolehkan anggota polis mengambil dan memulangkan senjata api sendiri.
“Setiap rak simpanan yang berbentuk seperti kabinet fail ini boleh menyimpan sama ada 30 pucuk pistol atau 10 laras raifal.
“Kaedah ini mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja bagi sesebuah balai polis,” katanya.
Pada pameran sama, penulis turut mengunjungi sebuah lagi syarikat tempatan iaitu Mildef International Technologies Sdn. Bhd. yang sebelum ini menghasilkan kereta berperisai pertama sepenuhnya buatan Malaysia iaitu Tarantula HMAV4x4.
Niat hanya ingin melawat Tarantula, tetapi tidak sangka dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Mildef berjaya menghasilkan dua lagi ‘adik’ Tarantula iaitu High Mobility Light Tactical Vehicle dan Weapon Carrier Vehicle.
Walaupun masih di peringkat ‘prototype’, tetapi kedua-dua kenderaan ini seumpama sudah bersedia berada di pasaran dan seperti tidak percaya bahawa ia adalah hasil ‘air tangan’ orang tempatan.
Difahamkan, beberapa kenderaan buatan Mildef ini sedang dirisik oleh beberapa pihak luar dan juga tempatan.
Terdetik di hati penulis, kenapa teknologi yang sebegitu canggih digunakan oleh ‘orang luar’ dahulu walaupun ia ciptaan anak tempatan sepenuhnya.
Adakah kita tidak nampak kepakaran tempatan atau masih lagi bergantung dengan teknologi luar.
Jangan sampai gajah depan mata tidak nampak, kuman seberang laut juga yang dipuja hingga mengakibatkan kepakaran tempatan hilang.














