Berita mengejutkan berlaku apabila pemain bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim terkena curahan asid sulfurik pekat di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor 5 Mei lalu.
Dia yang turut dikenali sebagai Mickey, 26, dilaporkan mengalami kesan curahan asid di bahagian muka, pipi, hidung, lengan kiri, sekitar leher, bahu dan dada kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta.
Dia mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali dan masih bebas.
Pemain Selangor FC itu juga menghadapi risiko tidak boleh bermain bola sepak selama beberapa bulan disebabkan kecederaan tersebut.
Serangan itu adalah yang pertama kali berlaku terhadap pemain Harimau Malaya, namun terdapat kes mencurah asid ke atas atlet kebangsaan di luar negara seperti di India.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang pernah melawat Mickey berkata, pemain itu menangis dan tertanya-tanya kenapa dia diperlakukan sebegitu.
Kejadian kali ini bukan berlaku terhadap orang awam tetapi kepada Faisal ketika prestasinya memuncak dan telah dinobatkan sebagai penjaring gol terbaik Piala Asia sewaktu menentang Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 di Qatar, Januari lalu.
Sebelum Faisal disimbah asid, seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid, 25, yang mewakili Terengganu FC disamun oleh dua individu tidak dikenali dan mengalami kerugian lebih RM4,800.
Dia yang cedera pada waktu malam baru-baru ini disamun dan dipukul menggunakan besi dekat sebuah kondominium di Kuala Terengganu.
Selepas Faisal dicurah asid, cermin belakang kereta milik pemain kelab Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, 36, dipecahkan oleh seorang individu yang membonceng sebuah motosikal di Johor Bahru, malam Selasa lalu sebelum mereka melarikan diri.
Namun, pelaku-pelaku perbuatan dalam dua kejadian itu masih lagi belum ditangkap polis.
Mengulas kejadian itu, Ketua Program Pengurusan Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Siti Aishah Wahab berkata, kejadian yang berlaku terhadap Faisal tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, atlet-atlet kini perlu mengambil langkah kawalan keselamatan sendiri dan persatuan sukan perlu mempunyai pelan tindakan berhubung perkara tersebut.
“Ini adalah kali pertama berlaku dari segi curah asid (terhadap pemain Harimau Malaya di Malaysia),” ujarnya.
Sementara itu, bekas jurulatih Selangor yang pernah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2016 dan mantan pemain kebangsaan, K. Gunalan berkata, walaupun Faisal sangat terkenal tetapi cara dia bergaul dengan sesiapa sahaja adalah baik dan peramah.
“Jadi, saya berasa sedih dan kesal. Perkara ini (simbah asid) tidak patut berlaku,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Menurutnya, mulai sekarang dan selepas tiga insiden melibatkan Akhyar, Faisal dan Safiq diserang), pemain bola sepak kebangsaan perlu berjaga-jaga bila berada di luar stadium.
“Mesti jaga keselamatan dan jangan banyak keluar rumah kerana insiden ini (simbah asid) mungkin boleh berlaku.
“Jadi, saya rasa pemain kebangsaan harus ambil ikhtiar tentang keselamatan mereka,” katanya.
Gunalan yang pernah bermain dengan legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari berkata, ketiadaan Faisal akan mengganggu persiapan skuad Harimau Malaya.














