fbpx

4.94 juta hektar tanaman sawit dipersijilkan MSPO, setakat April tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi (tujuh dari kiri) bersama Pengerusi MSPO Datuk Dr, Suzana Idayu Wati Osman (lapan dari kanan) menyampaikan sijil kepada duta belia MSPO pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Kuala Lumpur. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sejumlah 4.94 juta hektar atau 87.4 peratus daripada keluasan tanaman sawit dan sebanyak 407 daripada 446 kilang sawit telah dipersijilkan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April, tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, selain itu seramai 151,152 pekebun kecil (66 peratus) merangkumi 542,215 hektar juga telah mendapatkan pensijilan dalam tempoh yang sama.

Ujarnya, ia merupakan antara hasil usaha kerajaan dan pemain industri dalam meningkatkan taraf kemampanan industri ini dalam tempoh penubuhan MSPO selama 10 tahun.

“Selain itu, MSPO telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemegang taruh di negara-negara pembeli seperti Jepun, China, India, Mongolia dan Filipina.

“MSPO juga telah menandatangani MoU bersama Halal Development Centre (HDC) bagi mempromosi hasil sawit negara ke pasaran halal di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Abdul Hadi Omar, di sini hari ini.

Tambah Johari, dalam perbincangan dua hala antara pihak Kementerian dan pihak Kesatuan Eropah (EU) berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, respon positif telah diterima berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan.

“Pihak Kesatuan Eropah (EU) juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Kementerian Perladangan dan Komoditi turut mengumumkan penjenamaan semula Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) kepada MSPO.

Johari berkata, pertukaran nama tersebut merupakan salah satu inisiatif pemantapan penjenamaan semula MSPO sebagai sebuah skim pensijilan minyak sawit yang berkualiti dan terbaik di dunia.

Ujarnya, usaha-usaha mempromosi MSPO ini akan disempurnakan lagi dengan pelancaran Pelan Tindakan Strategi MSPO tahun 2024 sehingga 2026 yang mengutamakan 57 inisiatif strategik, merangkumi tiga strategi.

“Strategi pertama adalah membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai.

“Selain itu, memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO. Ketiga, memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI