fbpx
STUART memaklumkan, teknologi VAR dalam Liga M hanya menggunakan purata enam kamera dalam setiap perlawanan berbanding 12 hingga 30 lebih kamera dalam liga utama di Eropah.

MFL harap peminat faham kekangan ‘angle’ VAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH berehat panjang, kini saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025 telah membuka tirainya semalam.

Meskipun berlaku beberapa perkara yang tidak diingini sebelum sepak mula saingan Liga M pada musim ini, namun ia tidak menghalang kehangatan liga utama bola sepak di Malaysia.

Malah, apa yang lebih menarik pada musim ini, teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) turut diperkenalkan buat kali pertama.

Bagi membincangkan beberapa isu berkaitan Liga M, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Pada musim ini, MFL menggunakan format musim 2024/2025 seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Thailand. Apakah rasionalnya pelaksanaan pembaharuan ini?
STUART RAMALINGAM: Perubahan ini perlu dibuat semasa rombakan kalender Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diumumkan untuk menyesuaikan kalendar domestik dengan kalendar AFC serta liga-liga teratas lain di seluruh dunia.

Rombakan ini perlu untuk memastikan kelab, pasukan kebangsaan dan jendela perpindahan pemain kita sesuai dengan kalendar yang diselaraskan dan berfungsi dengan semua pertandingan serantau.

Sebelum ini, terdapat rungutan daripada jurulatih skuad negara bahawa pemain kurang minit permainan menjelang pertemuan penting. Ini disebabkan liga berehat panjang. Apakah jaminan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bahawa perkara sebegini tidak berulang lagi?
MFL sentiasa menyokong agenda pasukan kebangsaan.

Skuad senior dan B-23 telah mendapat manfaat selama ini dengan MFL menyediakan hari panggilan tambahan untuk setiap pasukan negara bagi melakukan persiapan.

Saya tidak akan mengatakan kita perlu bekerja lebih erat kerana MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah melakukannya.

Perkara yang berlaku baru-baru ini hanya disebabkan oleh peralihan kalendar yang telah dimaklumkan lebih awal. MFL akan terus menyokong pasukan kebangsaan dan keperluan jurulatih negara sepanjang musim ini.

Pada tahun ini juga, MFL akan memperkenalkan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga M). Boleh tuan jelaskan manfaatnya pada liga kita terutamanya sistem pengadilan yang sering dikritik?
Dengan pengenalan VAR pada musim ini, ia akan menyuntik elemen baharu yang lebih dinamik kepada Liga M. Ia juga akan membantu pengadil dalam membuat keputusan semasa perlawanan dengan ketepatan dan kesahihan lebih baik.

Malah, VAR pasti akan menambah cita rasa tersendiri pada setiap perlawanan dan kami berharap ia akan memartabatkan Liga M.

Selepas VAR diuji dalam beberapa perlawanan, apakah kekurangan yang tuan kenal pasti pada sistem ini? Ada rungutan bahawa VAR kita mempunyai ‘angle’ terhad, sekali gus menyukarkan pengadil untuk melihat dengan jelas?
Peminat bola sepak Malaysia mempunyai keistimewaan untuk menonton VAR melalui perlawanan langsung dalam liga terbaik dari seluruh dunia.

Pengalaman ini juga disertakan dengan nilai produksi yang tinggi yang akan menyaksikan perlawanan dihasilkan dengan 12 hingga 30 lebih kamera.
Bagaimanapun, Liga M memperkenalkan VAR mengikut kemampuan kita di Malaysia dengan purata pengeluaran enam kamera pada setiap perlawanan.

Kami berharap peminat akan memahami pengenalan fasa satu yang telah diusahakan ini.

Kami akan menambah baik dan melabur lebih banyak wang dalam teknologi VAR pada tahun-tahun akan datang.

Setiap tahun, kita pasti tidak sunyi dengan masalah gaji membabitkan pasukan-pasukan dalam Liga M. Boleh tuan ulas, punca utama perkara ini berlaku berulang kali, walaupun peringatan telah diberikan?
Ini adalah perkara yang dipandang serius oleh MFL dan itulah sebab tiga kelab besar telah ‘ditendang’ keluar daripada Liga M sejak dua tahun lalu.

Kami berharap kelab lebih sedar tentang isu ini dan menguruskan belanjawan mereka dengan sewajarnya.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh MFL bagi memastikan masalah gaji ini tidak berulang pada musim ini?
MFL tidak dapat menjamin perkara ini tidak akan berlaku sepanjang musim.

Berdasarkan insiden sebelum ini, kami cenderung untuk mengetahui tentang isu berkenaan agak lewat.

Oleh yang demikian, MFL memperkenalkan Financial Fair Play (FFP) pada musim ini.

Kami berharap, biarpun ia tidak dapat menghapuskan masalah itu daripada berlaku, namun dengan prosedur baharu yang telah ditetapkan, MFL dapat mengetahui lebih awal dan campur tangan segera boleh dilakukan.

Pemain juga boleh memainkan peranan besar di sini untuk memastikan laporan dibuat kepada pihak yang betul seperti Persatuan Pemain-

Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), FAM atau terus kepada MFL.

Difahamkan, MFL memperkenal FFP pada musim ini seperti dalam liga-liga di Eropah. Bolehkah tuan jelaskan FFP ini dan adakah ia akan menghadkan kelab-kelab besar untuk berbelanja?
FFP di Malaysia sangat berbeza dengan FFP di liga-liga lain.

Di Malaysia, kita mempunyai isu asas mengenai gaji tertunggak dan itulah yang ingin ditangani oleh pengenalan fasa pertama ini.

Melangkah ke hadapan, kami akan meneliti pendapatan kelab dan peraturan penggunaan pendapatannya serta kerugian terkumpul dalam tempoh kewangan tetap.

Jangan lupa, kita sudah mempunyai Peraturan Pelesenan Kelab dan kita tidak mahu bertindih, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam penerimaan dan pelaksanaan FFP yang akan dilakukan secara berperingkat.

Sekiranya ada pelanggaran FFP, apakah tindakan yang akan dikenakan kepada kelab terbabit, adakah hanya melibatkan pemotongan mata?
Jika kelab melanggar FFP, banyak jenis sekatan boleh diambil.

Sekatan ini boleh berupa potongan mata, denda, larangan perpindahan dan penyingkiran daripada sesuatu pertandingan.

Tahun ini, kebanyakan kelab memilih untuk berbelanja secara berhemah termasuk Terengganu, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor. Apakah langkah ini akan mengurangkan kerancakan Liga M kerana tidak banyak pemain berkualiti tinggi dibawa masuk?
Berbelanja secara berhemah adalah perkara yang telah kita perkatakan di atas.

Ini adalah pengurusan yang baik dan pendekatan mampan jangka panjang. Menguruskan belanjawan tiada kaitan dengan kekurangan pemain yang berkualiti.

Ini adalah proses pengurusan dan kami berterima kasih kepada kelab kerana mengambil pendekatan berkenaan.

Akhir sekali, musim ini JDT dijangka meneruskan penguasaan. Pada pendapat tuan, mampukah pasukan lain mencabar JDT?
Saya percaya, daya saing di atas padang bergantung kepada setiap pasukan.

Seperti mana Bayer Leverkusen yang menamatkan dominasi 11 tahun Bayern Munich dalam Bundesliga pada musim ini, ia jelas menunjukkan bahawa bukan bajet besar untuk menang.

Terpulang kepada setiap kelab, pemain dan pasukan untuk membawa kejayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN