Ikan kuku antara ikan yang sukar dan mencabar untuk ditangkap.

K2

Pancing ikan kuku perlu kesabaran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL dan membesar berdekatan pantai menjadi antara sebab mengapa pemuda itu meminati hobi memancing.

Sejak usia lapan tahun dirinya sudah terdedah dengan aktiviti tersebut yang menjadi rutin penduduk sekitar terutama golongan lebih berusia.

Menurut pemuda asal Kuala Terengganu, Terengganu, Mohd. Shah Amri Ismail, 33, disebabkan dia sering melihat orang memancing, timbul minat di hatinya untuk melakukan aktiviti serupa.

“Sejak kecil saya suka melihat orang-orang tua memancing, malah apabila melihat mereka dapat menangkap ikan, terdetik di hati bahawa suatu hari nanti saya juga boleh melakukannya.

“Selepas saya mula memancing, baru saya dapat rasai sendiri betapa seronoknya aktiviti tersebut dan setiap kali masa lapang pasti akan melakukannya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang melakukan aktiviti memancing, dia sudah mencuba pelbagai lubuk tetapi bagi dirinya, air masin terutama muara sungai adalah lokasi yang menjadi pilihan.

Kongsi bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, dalam memancing, dia gemar memburu ikan-ikan seperti kuku, siakap putih, siakap merah, ikan kacang, ikan talang dan kerapu.

Namun begitu, dalam pelbagai jenis ikan yang sering diburu, Mohd. Shah memberitahu ikan kuku merupakan antara ikan yang paling sukar untuk ditangkap.

Mohd. SHAH (tiga dari kiri) menyertai pertandingan memancing sebagai hobi sampingan.

Ia berikutan untuk menangkap ikan tersebut perlukan kesabaran yang tinggi, malah ia juga hanya boleh didapati di kawasan muara sungai yang berbatu.

“Ramai orang yang mengaku kalah bila cuba untuk memancing ikan kuku, cara ia ‘bermain’ kadangkala boleh membuat pemancing hilang sabar.

“Kalau dilihat ikan kuku putih terutamanya susah nak dijumpai di pasar kerana ramai yang kurang mahir untuk menangkapnya,” ujarnya yang gemar memancing dengan teknik jigging dan casting.

Tambahnya, bagi menangkap ikan kuku, pemancing perlu tahu waktu ia aktif yang mana kebiasaannya semasa air pasang dan di lokasi di mana ada banyak teritip.

Bagi umpan pula, ikan kuku putih gemar dengan hidupan cengkerang seperti ketam kecil, siput, teritip dan lain-lain.

Untuk ikan kuku hitam pula, ia gemar dengan umpan seperti udang.

Namun begitu, bagi umpan lain pula, pemancing boleh ‘memikat’ ikan kuku dengan menggunakan roti canai, isi ayam goreng, buntut ayam atau umpan tepung yang dibuat sedikit berminyak.

Hal ini berikutan, ikan kuku juga sukakan umpan berminyak kerana apabila ia dilempar ke dalam sungai, air akan menyebarkan minyak tersebut yang membawa aroma untuk memikat ikan.

Katanya lagi, di Terengganu antara lokasi yang menjadi tumpuan pemancing untuk menangkap ikan kuku adalah di benteng pemecah ombak, Kuala Terengganu.

Lokasi tersebut juga merupakan kawasan pilihan pemancing untuk belajar menangkap ikan berkenaan yang mudah ditemui di kawasan Pantai Timur.

“Saya juga ada menubuhkan kumpulan pemburu ikan kuku (Kuku Hunter Pantai Timur) yang mengumpulkan pemancing dari tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Dalam kumpulan ini kami sama-sama berkongsi ilmu tentang cara memancing ikan kuku dan pengalaman masing-masing terutama daripada orang-orang lama,” jelasnya yang sering menyertai pertandingan memancing sebagai hobi sambilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN