fbpx

Bayi meninggal tersedak susu: Suami isteri saman pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rafi (dua dari kanan) bersama isterinya serta peguam (kanan) ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri berjaya dalam permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua pengasuh anaknya dalam saman yang didakwa cuai menjaga bayi perempuan sulung mereka berusia tiga bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zawiyah Saad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohd. Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya Anis Amalina Mazlin, 28, selaku plaintif terhadap dua pengasuh masing-masing berusia 58 dan 35 tahun itu sebagai defendan yang mana saman itu difailkan pada 9 April lalu.

Peguam Muhammad Hariz Md. Yusoff yang mewakili pasangan suami isteri itu ketika ditemui selepas prosiding berkata mahkamah telah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu dan membenarkan tuntutan yang difailkan plaintif.

“Anak guam kami telah memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur, namun defendan (dua pengasuh) telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat.

“Defendan juga difahamkan telah melantik peguam hanya selepas penghakiman ingkar direkodkan mahkamah,” katanya.

Menurut peguam itu, setakat ini tarikh baharu bagi prosiding seterusnya akan diketahui nanti.

Terdahulu berdasarkan tuntutan saman yang difailkam plaintif, pasangan itu mendakwa pada 15 Jun 2023, plaintif pertama iaitu bapa si mati iaitu plaintif pertama telah menghantar anaknya ke rumah defendan sekitar pukul 6.48 pagi.

Namun pada pukul 11.40 pagi hari yang sama, bapa si mati telah menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bahawa si mati dalam keadaan lemah dan tidak bernafas sambil menggesa plaintif untuk pulang segera.

Bapa si mati turut memaklumkan kepada pengasuh itu supaya menghubungi pihak ambulans dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan perubatan segera terhadap Simati.

Dalam perjalanan pulang, plaintif telah menghubungi defendan bagi mendapatkan status keberadaan anaknya dan telah dimaklumkan oleh defendan bahawa si mati telah diambil oleh ambulana namun tiada maklumat si mati dibawa ke hospital mana.

Hal itu telah menyebabkan plaintif pertama terpaksa bergegas pergi ke hospital berdekatan iaitu Hospital Putrajaya.

Plaintif mendakwa defendan-defendan tidak menemani atau membiarkan anaknya berseorangan dalam ambulans serta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju ambulans tersebut yang menunjukkan bahawa defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.

Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya pada masa material sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan oleh pihak hospital dan si mati disahkan meninggal dunia pada pukul 12.17 tengahari pada hari yang sama.

Mengikut maklumat, plaintif dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya pada masa material dipenuhi dengan susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidung si mati ketika bantuan kecemasan diberikan.

Justeru, plaintif-plaintif memplidkan bahawa kematian si mati adalah disebabkan tindakan pengabaian dan kecuaian defendan yang memberi susu secara berlebihan kepada si mati tanpa pantauan dan perhatian yang penuh dan rapi oleh defendan-defendan.

Plaintif-plaintif menuntut ganti rugi lebih RM100,000 daripada kedua-dua defendan yang mana antaranya ganti rugi kesedihan, ganti rugi khas selain faedah yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI