fbpx

Akaun 3 KWSP bermula esok, ini yang perlu anda tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pelaksanaan penstrukturan semula akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun melibatkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 akan bermula esok.

Menurut laman web KWSP, simpanan dalam Akaun Fleksibel atau Akaun Tiga boleh dikeluarkan oleh ahli KWSP pada bila-bila masa mengikut keperluan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa (esok) akan dikreditkan ke dalam akaun mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).

“Pada masa ini, penstrukturan semula akaun KWSP tidak mengubah polisi semasa penentuan kadar dividen. Kadar dividen yang sama akan terpakai ke atas ketiga-tiga akaun,” kata KWSP.

Jelas KWSP, penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan pilihan amaun permulaan.

Kata KWSP, ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel melalui KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP.

“Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024. Pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut dan tidak boleh dibatalkan.

“Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki sedia ada dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera akan kekal.

“Manakala, caruman baharu mulai 11 Mei 2024 akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pilihan pindahan amaun permulaan akan diluluskan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja,” kata KWSP.

Jelas KWSP, bagi ahli yang mempunyai baki simpanan RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, baki simpanan dalam Akaun Sejahtera diagihkan mengikut nisbah ditetapkan.

“Sebanyak 10 daripada 30 (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel; lima daripada 30 (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan dan 15 daripada 30 (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

“Bagi baki Akaun Sejahtera kurang daripada RM3,000, pindahan akan dibuat seperti berikut iaitu Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

“Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera,” kata KWSP.

Tambah KWSP, permohonan pengeluaran Akaun Fleksibel tidak boleh dibatalkan apabila permohonan telah diluluskan dan ahli boleh memohon pengeluaran Akaun Fleksibel melalui KWSP i-Akaun atau kaunter KWSP. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI