Mula mencipta nama dengan kerjaya sebagai personaliti media sosial Indonesia, sebenarnya sekitar 20 tahun lalu, Atta Halilintar pernah menjadi perantau di Malaysia bersama keluarganya.
Sebelum hidup mewah dan muncul sebagai pencipta kandungan Top 3 di Asia, hakikatnya perjalanan hayat menantu diva Indonesia, Krisdayanti itu tidak semudah yang disangka.
Bukan berasal daripada keluarga berada, Atta pernah mengikut bapanya menjual kad sim di sekitar Pasar Seni sebagai sumber pendapatan ketika menetap di Kuala Lumpur (KL).
Jual kad sim
Pemilik nama lengkap Muhammad Attamimi Halilintar itu berkongsi kehidupan sebagai anak sulung yang memikul tanggungjawab buat 10 adik-beradiknya yang digelar sebagai Geng Halilintar di Indonesia.
“Ketika itu, ibu bapa saya perlu menanggung yuran persekolahan untuk saya serta adik-beradik sekitar RM600 sebulan.
“Sebagai anak sulung, ini adalah tanggungjawab saya untuk membantu keluarga. Jadi, saya mengikut bapa saya menjual kad sim di sekitar Pasar Seni.

“Waktu itu, saya juga menjual barang-barang lain demi menjana pendapatan ketika itu. Sebab itu Pasar Seni antara tempat yang bermakna dalam hidup saya.
“Kehidupan yang susah satu ketika dahulu menjadi pemangkin semangat untuk saya mencapai kejayaan seperti sekarang.
“Di Indonesia juga, saya berniaga tanpa kenal erti lelah,” katanya kepada HibGlam.
Bermula dari bawah, Atta tidak ragu-ragu untuk berkongsi dengan lebih mendalam sejarah kisah hidup sukar di Kuala Lumpur.
Bapa
“Kami tidak berkemampuan sangat, kami cuba untuk pasang internet tetapi tidak mudah. Jadi saya ikut bapa saya menjual kereta atau apa pun.
“Jadi saya berniaga bermula dari sekolah rendah hingga saya sekolah menengah saya membantu ayah saya.
“Malaysia selalu jadi sejarah dan merupakan bukti dalam kehidupan saya,” jelasnya yang kembali ke negara ini bagi melancarkan lagu baharu, berjudul Mantap Cuy.
Meskipun sudah terkenal di Indonesia, perjalanan hidup Atta yang bermula dari kosong membentuk siapa dirinya ketika ini.

Popular dan disegani, YouTuber berusia 29 tahun itu juga dilihat sebagai seorang bapa dan suami yang penyayang.
Status tersebut juga secara tidak langsung memberikan tekanan buat dirinya.
“Sejujurnya, dianggap sebagai ‘family man’ itu sebagai satu tekanan bagi saya kerana itu merupakan tanggungjawab yang besar.“Secara peribadi, saya cuba memperbaiki diri dari hari ke hari untuk menjadi suami dan bapa yang baik.
“Apatah lagi saya bergelar bapa kepada dua orang cahaya mata perempuan, mereka masih menjadi tanggungjawab saya sehingga menikah nanti,” katanya.
Mantap Cuy
Sementara itu, Atta yang menjadi pilihan Kidd Santhe dan Saixse untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu berjudul Mantap Cuy tidak ragu-ragu menerima tawaran tersebut.
Tergerak hati untuk bekerjasama dengan Kid dan Saixse, Atta langsung tidak pernah menjadikan jumlah pengikut atau pelanggan media sosial sebagai syarat kolaborasi.

“Mungkin memang Tuhan sudah atur semua ini dan akan menjadi karya yang bagus, jadi hati saya tergerak untuk melakukan sesuatu dengan anak-anak muda.
“Tidak kira dari Malaysia mahupun Indonesia, saya bukan seorang yang memilih rakan kolaborasi berdasarkan pengikut yang ramai.
“Tetapi saya mengambil kira tentang nilai sesuatu projek itu kerana prinsip saya adalah, jika kita berbuat baik sama manusia, Tuhan akan berbuat baik pada kita,” katanya.
Mantap Cuy adalah lagu hasil ciptaan bersama Kidd Santhe dan Saixse sendiri, manakala Atta pula menulis sebahagian lirik lagu berkenaan.
Video muzik lagu berkenaan menjalani penggambaran di Indonesia dan mula ditayangkan di saluran YouTube Kidd Santhe sejak 30 April lalu.
















