fbpx

OKU maut disamun, suspek ada 10 rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi seorang lelaki OKU yang maut selepas rumah dua tingkat yang didiami tiga beranak itu dipecah masuk, awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan berikat di rumahnya, di Guar Perahu, Bukit Mertajam, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, semakan rekod mendapati suspek yang berusia 40-an itu memiliki 10 rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Suspek ditahan untuk direkodkan keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.36 pagi tadi.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 80-an mengadu rumahnya dalam keadaan berselerak selepas terjaga daripada tidur kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Pengadu menemui isterinya yang berusia 70-an di bilik berasingan dalam keadaan tangan dan kaki berikat menggunakan pengikat kabel manakala mulutnya disumbat kain beserta pelekat hitam dan luka di jari kanan.

“Dia kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik anaknya dan mangsa ditemui dalam keadaan sama namun tidak sedarkan diri di atas lantai.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya,siasatan lanjut mendapati, dua suspek bersenjatakan parang memecah masuk ke dalam rumah terbabit dan menggeledah bilik mangsa sebelum melarikan sejumlah wang tunai dan sebuah televisyen.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki OKU maut selepas rumah dua tingkat yang didiami tiga beranak itu dipecah masuk awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI