fbpx

PTPTN beri sumbangan CSR RM5,000 kepada 10 pelajar terpilih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza (berdiri enam dari kiri), bergambar bersama pelajar-pelajar istimewa yang menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memberikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 orang pelajar istimewa.

PTPTN melalui satu kenyataan berkata, 10 pelajar tersebut membabitkan lima pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima lagi pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“UKM dan USIM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan.

“Sebagai agensi yang memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program-program CSR untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, PTPTN telah meraikan pelanggannya yang terdiri daripada Kementerian, agensi kerajaan, agensi swasta, SAHABAT PTPTN, rakan strategik dan rakan-rakan media bersempena Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Bersempena majlis tersebut, PTPTN turut menerima sumbangan untuk myWaqafPTPTN daripada syarikat korporat iaitu UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, Uda Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang merupakan antara penyumbang terawal sejak myWaqafPTPTN dilancarkan pada 11 Mac 2024 lalu.

Tambah kenyataan itu, myWaqafPTPTN ialah dana wakaf pendidikan tinggi, hasil kerjasama PTPTN dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.

“myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada sepuluh rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik pinjaman bagi tahun 2023 dan 2024.

Antaranya, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Pada majlis itu juga, PTPTN turut meraikan pemenang bagi kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow. Kempen cabutan siri pertama bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 telah diadakan bermula 1 Januari 2024 sehingga 29 Februari 2024 yang menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Sementara itu, bagi Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, melalui tabungan dalam Simpan SSPN, pelbagai manfaat dan keistimewaan disediakan kepada pendeposit.

“Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI