fbpx

Mesyuarat MPC bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peningkatan harga barang yang turut disebut sebagai inflasi antara faktor utama yang bakal menentukan OPR. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu dan Khamis ini, me­nurut Standard Chartered Global Research.

Katanya dalam nota penyelidikan yang diterbitkan semalam, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama 2024 adalah berdaya tahan pada 3.9 peratus tahun ke tahun, meskipun lebih rendah berbanding unjuran pihaknya pada akhir tahun lepas.

“Inflasi kekal rendah setakat bulan Mac, walaupun terdapat peningkatan sebanyak dua mata peratusan dalam kadar Cukai Perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, firma ber­kenaan mencadangkan bahawa perkembangan terbaharu mungkin telah meningkatkan risiko kenaikan OPR oleh BNM pada hujung tahun ini.

Pertama melibatkan penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh membawa kepada pengeluaran kira-kira RM25 bilion (bersamaan 1.3 peratus daripada KDNK) yang berkemungkinan akan menambah inflasi, didorong oleh permintaan.

“Kedua, kenaikan gaji penjawat awam (bersamaan 10 peratus keseluruhan jumlah pekerja) yang bakal dinaikkan lebih daripada 13 peratus bermula Disember ini.

“Ketiga, rasionalisasi subsidi bahan api yang mungkin akan dilaksanakan pada 2025 atau lebih awal daripada itu, menambah risiko ke arah atas.

“Kami akan memerhatikan sebarang perubahan kepada prospek inflasi BNM untuk menilai risiko kenaikan pada lewat tahun ini, namun ia bukan kes asas kami buat masa ini,” ujarnya.

Mesyuarat MPC bermula hari ini merupakan kali ketiga daripada enam pertemuan yang dija­dualkan untuk tahun ini.

Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada tiga peratus pada Mei tahun lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI