fbpx

Kaitan serangan pemain bola dengan siasatan FAM disiasat – Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti sama ada serangan menimpa tiga pemain bola sepak kebangsaan mempunyai kaitan dengan tohmahan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, perkara tersebut antara sudut yang diteliti bagi mengesan pelaku serta motif serangan dilakukan.

“Kita lihat keseluruhan, adakah tohmahan kepada FAM sebulan lalu yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah nyatakan bahawa tohmahan tidak berasas.

“Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM diluahkan kepada pemain kebangsaan? Kita libatkan semua sudut dan aspek siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan kerana berdasarkan kes pertama, serangan mengakibatkan kerugian, kes kedua melibatkan kecederaan, manakala kes ketiga akibatkan kerugian kerana kerosakan kenderaan.

“Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan suspek.

“Saya juga menunggu laporan daripada pegawai saya bagaimana daripada kecederaan tahap dua merebak ke tahap empat,” ujarnya.

Kata beliau, bagi ketiga-tiga kes setakat ini seramai 15 orang telah dirakam keterangan.

“Untuk kes kedua, seramai 10 orang telah direkod keterangan termasuk ahli keluarga dan saksi berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan laporan polis dibuat pihak pengurusan Selangor FC. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI