fbpx

YDM kumpul dana tabur bakti bantu golongan memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Yusof (duduk, tujuh dari kanan) bersama sebahagian daripada ahli pada majlis penganugerahan watikah ahli kehormat YDM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Datuk Malaysia (YDM) yang baru ditubuhkan sejak dua tahun lalu, memberi tumpuan terhadap u­saha untuk membantu golongan dan komuniti yang memerlukan khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan, teknologi dan agrikultur.

Presidennya, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir berkata, yayasan yang dianggotai lebih daripada 160 ahli itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pengalaman, khususnya dalam bidang perniagaan telah bergerak aktif bagi menjayakan setiap aktiviti dan program yang telah di rancang dan akan dianjurkan kelak.

“Idea penubuhan yayasan ini sudah lama tetapi kami baru bergerak aktif sejak dua tahun lalu. Yayasan ini memiliki objektifnya sendiri dan kami masing-masing menyimpan hasrat untuk menabur bakti bukan sahaja untuk menganjurkan kerja-kerja amal tetapi juga membantu aktiviti sosial dan membantu persatuan yang meminta pertolongan.

“Pelbagai aktiviti yang telah kami rancang termasuk membangunkan sebuah ibu pejabat yayasan bagi memudahkan segala aktiviti yayasan dirancang dan dianjurkan di situ. Kami turut menjangkakan jumlah ahli bakal bertambah lebih 500 orang akhir tahun ini.

“Sebelum ini, pelbagai aktiviti yang telah kami laksanakan tetapi dalam skala kecil dan tidak dihebahkan kepada umum namun ia telah memberi manfaat kepada golongan yang menerimanya.

“Ini adalah masa yang sesuai dan tepat bagi kami untuk memberi sumbangan kembali kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganugerahan watikah ahli kehormat YDM di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Syed Yusof yang berpengalaman luas dalam beberapa yayasan yang diceburinya sebelum ini melihat YDM tidak mengamalkan sikap pilih kasih terhadap kumpulan penerima sumbangan kerana beliau berpendapat sudah menjadi tanggungjawab ahli-ahlinya untuk bekerjasama rapat dalam membantu golongan yang ditimpa kesusahan apatah lagi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

Mengulas mengenai pengumpulan dana untuk kelangsungan yayasan tersebut, Syed Yusof menerangkan, berbeza dengan yayasan lain yang bergantung kepada dana yang diperoleh daripada sumbangan derma orang ramai tetapi sumber kewangan YDM diperkasakan oleh sumbangan daripada ahli-ahlinya.

“Kekuatan kami adalah daripada sokongan dan komitmen ahli-ahli yayasan yang sentiasa menolong satu sama lain.

“Mungkin cabaran awalnya adalah daripada segi modal dan juga penerimaan kehadiran YDM di mata masyarakat tetapi kami memiliki rancangan serta aktiviti yang menarik sekali gus bakal meningkatkan keyakinan mereka terhadap usaha yayasan pada masa akan datang,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI