fbpx

LKM bakal laksana projek tanaman baharu koko bernilai RM9.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (kiri) bersama Aranols pada majlis pelancaran KitKat Dark Borneo di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, LKM di Nilai semalam.

SEREMBAN – Lembaga Koko Malaysia (LKM) bakal melaksanakan projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar dan projek pemulihan kebun koko seluas 2,126 hektar secara berperingkat dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM9.5 juta.

Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan inisiatif tersebut diharap dapat menghasilkan limpahan ekonomi dan mempergiatkan aktiviti ekonomi di sepanjang rantaian bekalan.

Menurutnya, bagi membangunkan industri koko, LKM menggalakkan tanaman secara skala besar melalui kerjasama pembangunan kawasan tanaman koko bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat perladangan swasta.

“Pengisar di Eropah tetap akan bergantung kepada negara-negara tropika seperti Malaysia untuk membekalkan biji koko. Oleh itu, kita mesti mengambil peluang ini untuk meningkatkan hasil dan pengeluaran biji koko, terutamanya biji premium yang mempunyai nilai tinggi seperti yang digunakan dalam produk KitKat Dark Borneo.

“Kerjasama antara pihak kerajaan dan pihak industri juga amat dialu-alukan. Misalnya, kerjasama antara LKM dan Nestle yang telah bermula pada tahun 2022 dan jalinan kerjasama yang telah ditandatangani pada September 2023, dapat meningkatkan pendapatan petani dan pengeluaran koko secara mampan yang memanfaatkan semua pihak,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Maj­lis Pelancaran KitKat Dark Borneo Nestle di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, LKM Nilai di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah, LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (M) Berhad, Juan Aranols.

Johari menjelaskan, industri koko berpotensi untuk memberi pulangan yang lumayan kepada kira-kira 5,317 pekebun kecil koko yang merangkumi 89 peratus daripada kawasan tanaman koko sekali gus menjana pendapatan yang tinggi kepada ekonomi.

“Hal ini disokong oleh dua faktor utama iaitu Malaysia merupakan antara pemain utama koko di dunia terutamanya di peringkat pertengahan dan hiliran.

“Pada tahun 2023 sebanyak 370,207 tan biji koko telah dikisar di Malaysia, menjadikan negara kita pengisar kelima terbesar di dunia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI