fbpx

Rakyat Thailand tidak melancong ke Malaysia kerana faktor bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menerima kunjungan hormat Somnuk Promkheaw seterusnya mengadakan mesyuarat bersama delegasi Thailand di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. Gambar Urusetia Penerangan Darul Aman

ALOR SETAR – Sebahagian besar rakyat Thailand yang tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau Melayu menjadi antara punca mereka tidak cenderung melancong ke Malaysia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu menyebabkan ketidakseimbangan dalam jumlah kehadiran pelancong kedua-dua negara.

“Kita mengetahui bahawa kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand begitu ramai sekitar 4.8 juta setahun, tetapi kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia agak kurang, saya dimaklumkan sekitar 1.3 juta.

“Pihak Thailand memaklumkan memang ada kesukaran kerana rakyat Thailand agak sukar berbahasa Melayu dan Inggeris berbanding rakyat Malaysia yang lebih fasih berbahasa Inggeris dan ada yang turut menguasai bahasa Thai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menerima kunjungan hormat Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw yang turut mengadakan mesyuarat bersama delegasi Thailand.

Kata beliau, usaha meningkatkan jumlah pelancong Thailand ke negara ini perlu dilakukan segera menerusi pelbagai aktiviti promosi dan penerangan lokasi menarik dalam negara terutama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025.

Sementara itu beliau berkata, perbincangan bagi memudahkan urusan kemasukan kenderaan perdagangan yang membawa barangan segar dari Thailand ke Malaysia turut dilakukan dalam pertemuan itu.

Namun perkara yang dibangkitkan delegasi Thailand ada di antaranya tidak dapat diputuskan kerana tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sedia membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi. Kita juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Sempadan antara Kedah dan Songkhla untuk menyelesaikan isu dibangkitkan dalam sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan dan budaya.

“Akan ada satu lawatan balas daripada kerajaan negeri Kedah ke Songkhla dalam masa terdekat dan kita akan memohon wakil agensi Persekutuan turut serta bagi menyelesaikan isu di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Promkheaw turut menyatakan komitmen pihaknya dalam membantu Kedah dan Malaysia mempromosikan sektor pelancongan kepada rakyat Thailand terutama membabitkan penduduk di wilayah selatan.

Katanya, turut menjadi perhatian adalah isu pendaftaran perkahwinan pasangan dari Malaysia yang gagal didaftarkan di negara asal, selepas proses pernikahan dilakukan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla.

“Hal ini menimbulkan masalah pada masa hadapan sekiranya pasangan terbabit mempunyai anak yang tiada Sijil Kelahiran sehingga menyukarkan mereka mendapat kewarganegaraan, jadi kita sedia membantu pasangan terbabit menyelesaikan masalah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI