fbpx

MK K-Clique seronok jadi jahat demi Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MK menjayakan karakter antagonis bernama Bono dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

PETALING JAYA  – Sinonim dengan watak hero romantik dalam drama cinta, watak Bono dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak menampilkan
sisi berbeza penyanyi dan pelakon MK K-Clique dengan melakonkan watak jahat di layar perak.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia juga memang mengidamkan watak jahat (antagonis) dalam filem genre aksi sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Datuk Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana sekadar lakonan.

“Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya.

Mengenai persediaan karakter pula, kata MK, 28, dia banyak membuat rujukan dengan menonton filem genre aksi dari dalam dan luar negara.

MK K-Clique buat pertama kali menjayakan karakter antagonis dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. 

“Selaku pengarah, Awie juga banyak memberi bimbingan bagaimana untuk menjiwai watak Bono dalam filem itu.

“Saya terima tawaran pun kerana mahu bekerja dengan Awie kerana dia juga sama seperti saya dari penyanyi menjadi pelakon dan kini pengarah,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.

“Sebagai pelakon baharu, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat professional ketika bekerja.

“Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.

“Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi,” katanya.

Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak terbitan Wau Productions Sdn. Bhd. dan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. menelan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Selain Ben dan MK K-Clique, filem arahan sulung Awie itu turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mula menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula 2 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI