fbpx

Hail Amir meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIL Amir disahkan meninggal dunia hari ini di HKL.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Hail Amir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada paru-paru pukul 3.40 petang tadi.

Hail atau nama sebenarnya, Abdul Hail Amir, ,76, yang dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu sebelum ini dilaporkan nazak dan berada dalam pemantauan doktor berikutan masalah batuk berterusan.

Berita menyedihkan mengenai pemergian Allahyarham itu dikongsikan menantunya yang dikenali sebagai Aiman

“Betul, ayah sudah pergi meninggalkan dunia sebentar tadi. Arwah memang ada masalah jantung, doktor maklumkan ada jangkitan kuman.

“Minta semua sedekahkan al-Fatihah untuk ayah semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Jasmin Mohamad pula memaklumkan jenazah akan dibawa ke kediaman anaknya, Cinta Syafina di Ukay Perdana.

“Buat masa ini saya difahamkan tiada ‘post mortem’ dan jenazah selepas ini dibawa ke rumah anaknya.

“Urusan pengebumian pula saya belum dapat kepastian, kena tanya kepada anak-anaknya,” ujarnya.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu dilaporkan menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru di HKL, sejak Sabtu.

Sebelum ini, pelakon Farouk Hussain turut memaklumkan arwah dalam keadaan tenat dan tidak mampu untuk bercakap.

Hail pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurnia gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI