fbpx

PKBM pacu Azizulhasni buru emas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMARJIT

PETALING JAYA – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak teragak-agak meletakkan sasaran mereka di Sukan Olimpik Paris apabila mengumumkan membawa pulang sebutir pingat emas menerusi Datuk Azizulhasni Awang.

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sasaran yang diletakkan pihaknya itu selari dengan hasrat The Pocket Rocketman untuk melengkapkan kutipan pingat di temasya emas tahun sekali itu. 

Tegas Amarjit, sasaran berkenaan adalah realistik berdasarkan prestasi semasa jaguh berbasikal trek negara itu membawa pulang pingat emas yang diidamkan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya rasa kita semua tahu aspirasi Datuk Azizulhasni Awang menghala ke Sukan Olimpik Paris adalah ingin meraih pingat emas .

“Baru-baru ini beliau turut menyatakan hasratnya di Paris nanti. Sebelum ini, Datuk Azizulhasni telah meraih pingat gangsa di Rio de Janeiro, Brazil (2016) dan juga pingat perak di Olimpik Tokyo. Apa yang tertinggal adalah pingat emas.

“Saya juga telah berbincang dengan pengarah teknikal, John Beasley dan berdasarkan aspirasi Datuk Azizulhasni serta apa yang dibincangkan sebelum ini, PKBM telah menyasarkan satu pingat emas dalam sukan berbasikal trek di Olimpik Paris.

“Kita juga perlu realistik dan perkara ini telah dibincang lama. Malahan pingat emas ini adalah hasrat Datuk Azizulhasni dan juga sasaran utamanya.

“Itu sebab kami turut selari dengan hasrat yang ingi dicapai Datuk Azizulhasni di temasya itu iaitu satu pingat emas dalam acara keirin,” katanya dalam satu sesi ramah mesra di ibu kota hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Amarjit berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai sasaran itu.

“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan MOM dan KBS mengenai sasaran ini kerana kami percaya pihak mereka juga akan mengambil kira pengumuman sasaran pasukan lain seperti sukan badminton dan lain-lain,” katanya.

Setakat ini, kontinjen negara sudah disertai 10 atlet iaitu tiga atlet berbasikal trek, Datuk Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izaati Mohd. Asri; atlet berbasikal lebuhraya, Nur Aisyah Mohd. Zubir; dua pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy dan Nur Shazrin Mohd. Latif; atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan; penembak negara, Jonathan Wong; pemanah, Ariana Nur Dania Mohd. Zairi dan penerjun, Bertrand Rhodict Lises. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI