fbpx

Letupan bom : Kereta perisai digerakkan bantu kawalan sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota PGA menjalankan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Golok, Thailand pada Isnin lalu.

PASIR MAS – Polis Kelantan mula menggerakkan kereta perisai AFV Commando V150 ke sempadan Malaysia-Thailand bagi memperketatkan kawalan keselamatan susulan insiden letupan bom dan tembakan yang berlaku di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kereta perisai itu digunakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi rondaan sempadan bermula di Tumpat hingga ke Rantau Panjang.

Menurutnya, rondaan itu bermula dari Tumpat di sepanjang Pos Ular, Pos Simpangan, Pos Nibong, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu Pos Kuala Jambu sehingga Rantau Panjang.

“Kenderaan berperisai yang digunakan PGA itu akan dikendalikan oleh seorang pegawai dan 13 anggota.

“Selain itu, rondaan turut dilakukan dengan kenderaan pacuan empat roda yang sentiasa digerakkan semasa penugasan lazimnya kawalan di sempadan oleh PGA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, polis akan mempertingkat keselamatan di sempadan dan pengoperasian secara strategik meskipun kejadian itu berlaku di negara jiran.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, pihaknya tidak menerima laporan rasmi berkaitan sebuah kereta yang didakwa menggunakan nombor plat Malaysia semasa insiden berkenaan.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, insiden letupan bom dan berbalas tembakan itu mengakibatkan empat anggota polis Thailand di Balai Polis Sungai Golok, Wilayah Narathiwat cedera.

Sumber memaklumkan, keempat-empat anggota polis itu berada dalam keadaan stabil susulan kejadian tersebut.

“Difahamkan, kumpulan (penyerang) terbabit memang menyasarkan anggota keselamatan Thailand yang berada di balai polis tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI