fbpx

Penembak rumah pemandu lori naik motosikal ‘Y Suku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan cermin kiri dan belakang sebuah Perodua Viva yang pecah selepas ditembak dua lelaki dalam kejadian di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas, awal pagi tadi. Foto ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

KOTA BHARU – Dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 dipercayai melepaskan empat tembakan yang mengenai sebuah kereta dan trak pikap di depan rumah seorang pemandu lori di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya menaiki motosikal berkenaan dipercayai melarikan diri menghala ke Bunut Susu, di sini, selepas melepaskan tembakan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa dan sepupunya sedang tidur sebelum terdengar empat das tembakan di luar rumah.

“Polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 4.42 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Pemeriksaan di kawasan depan rumah itu menjumpai empat kelongsong peluru di atas jalan.

“Kelongsong yang ditemukan di lokasi kejadian itu disyaki jenis 9 milimeter (mm). Pengadu mendapati kereta jenis Perodua Viva milik sepupunya ditembak pada cermin bahagian belakang dan sisi kiri kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, selain itu, kereta jenis Mitsubishi Triton yang berada di depan rumah berkenaan turut ditembak pada bahagian fender kiri.

Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan mana-mana individu dan hanya melibatkan kerosakan dua buah kenderaan sahaja.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan sedang mengenal pasti dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 yang dipercayai terlibat dalam kes itu,” ujarnya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI