fbpx
SEBAHAGIAN penjawat awam sudah mula menerima panggilan daripada bank yang menawarkan pinjaman kewangan. – GAMBAR HIASAN

‘Baru umum, bank mula tawar penjawat awam tambah hutang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebahagian penjawat awam mendakwa sudah mula mendapat ‘promosi’ pinjaman daripada pihak bank berikutan pengumuman kenaikan gaji melebihi 13 peratus kelmarin.

Perkara itu diakui seorang penolong jurutera sebuah agensi kerajaan, Norshahida Ha­san Saari, 38, apabila menerima pesanan menerusi WhatsApp pihak ter­tentu yang mempromosikan pinjaman kepadanya.

“Perkara ini bukan satu yang pelik memandangkan golongan penjawat awam mempunyai gaji yang tetap dan me­nerima pelbagai imbuhan daripada kerajaan.

“Contoh kalau gaji penjawat RM1,000 pun boleh buat pinjaman hingga RM20,000, inikan pula bila gaji naik pada Di­sember ini.

“Namun, saya rasa ‘sera­ngan’ promosi dari mana-mana pihak akan bermula ligat ming­gu depan. Siapa yang punya kehendak luar biasa pastinya akan terjerat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Berdasarkan pengalamannya, dia mengakui turut rimas apabila menerima secara purata lebih dua panggilan setiap minggu da­ripada ejen-ejen bank atau pihak pemberi pinjaman.

“Saya rasa patut diteliti se­mula agar data peribadi kita tidak mudah diperoleh yang ko­nonnya daripada agensi kewangan atau insurans yang menawarkan pinjaman peribadi atau perlindu­ngan insurans sekali pun.

“Sebenarnya perkara sebegini yang mudah menjerat khususnya penjawat awam untuk membuat hutang baharu,” katanya.

Ujar seorang pembantu tadbir, Muhammad Fareed Osman, 28, setiap pemang­gil atau ejen itu mempunyai kaedah memujuk agar kita me­nerima promosi mereka.

“Saya pernah melayan panggilan ini. Apabila ditanya mereka memberikan jawapan selamat kononnya mendapat nombor te­lefon menerusi rekod pe­langgan walaupun saya tidak pernah menjalankan sebarang urusan dengan syarikat itu.

“Kenaikan gaji sudah pasti menyebabkan penjawat awam ‘dikejar’ disebabkan kelulusan segera, tambahan risiko penjawat awam dibuang kerja atau diberhenti kerja adalah rendah,” katanya.

Di George Town, seorang pegawai pentadbiran yang mahu dikenali Maria, 38, berkata, setiap kali pengumuman kerajaan berhubung pemberian bonus mahupun kenaikan gaji, dia antara yang akan menerima panggilan secara bertalu-talu pihak bank.

“Pernah sekali saya ditawarkan sejumlah pinjaman baharu sehingga ratusan ribu ringgit serta lanjutan tempoh bayaran atas alasan mampu meringankan bebanan kos yang ditanggung.

“Saya sudah tidak mahu tambah hutang baharu. Ketika ini pinjaman peribadi di dua bank masing-masing hanya berbaki RM5,000 dan RM10,000. Namun, berbeza pula dengan mereka yang mungkin mempunyai ko­mitmen tinggi,” katanya.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali Farid, 46, berkata, dia telah menerima panggilan daripada seorang kakitangan bank sebanyak tiga kali sejak pukul 9.30 pagi semalam.

“Belum puas menikmati kha­bar gembira dengan pengumuman kenaikan gaji, pagi tadi (semalam) mula dihujani dengan panggilan bank termasuk menawarkan pakej insurans khas untuk kakitangan kerajaan.

“Saya langsung tiada perasaan untuk mendengar segala tawaran yang dinyatakan kerana kenaikan gaji baharu itu bermula ­Disember. Ini ditambah pula dengan keadaan ekonomi serta kos sara hidup rakyat ketika ini.

“Kali ini, saya sudah tidak mahu menerima apa-apa tawaran terutama melibatkan hutang agensi kewangan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN