fbpx
MALEESHA berjaya memecah obsesi masyarakat India terhadap model berkulit putih.

Tuah Maleesha dari setinggan ke pentas peragaan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ORANG kata saya tinggal di kawasan setinggan, tetapi saya sangat sukakan kehidupan saya. Saya ingin menjadi ‘supermodel’ agar dapat memberi nafkah kepada keluarga.”

Ayat tertulis pada bahagian pengenalan Instagram milik Maleesha Kharwa itu jelas mencerminkan keperibadian model remaja yang semakin menempa nama di arena antarabangsa itu.

Gadis berusia 16 tahun itu memiliki kulit gelap, bermata bundar, berambut ikal serta memiliki senyuman manis, sekali gus mewakili kecantikan asli majoriti masyarakat di India.

Dengan anugerah semula jadi kurniaan Tuhan itu, Maleesha dilantik menjadi duta kepada produk kosmetik mewah India, Forest Essentials sejak Mei 2023.

Maleesha juga meraih perhatian dunia apabila banyak pihak menyiarkan kisah tentangnya termasuk BBC yang mengeluarkan dokumentari bertajuk Streets of Gold: Mumbai, selain Daily Mail dan Reuters.

Biarpun kini berstatus selebriti, namun anak sulung daripada dua beradik itu langsung tidak malu dengan asal usulnya sebagai anak dari kawasan setinggan.

Bahkan, Maleesha bangga digelar sebagai ‘Princess from the Slum’ (Puteri dari Setinggan) kerana dia mahu menjadi sumber motivasi kepada masyarakat senasib dengannya.

Mengimbau kembali kehidupannya sebelum menjadi model remaja, Maleesha akui, keluarganya hidup dalam keadaan serba daif.

Ujarnya, keluarganya sentiasa dalam keadaan terancam kerana pihak penguat kuasa akan datang pada bila-bila masa untuk menghalau mereka.

“Rumah (khemah) kami dulu tidak ada bekalan elektrik dan hanya guna ‘power bank’ sekiranya lampu perlu dinyalakan. Kami juga mandi di bilik mandi awam.

“Kadangkala, pihak penguat kuasa akan datang dengan jentolak dan senjata seperti parang untuk meruntuhkan ‘kediaman’ kami.

“Kebiasaannya, mereka datang pada musim tengkujuh. Pada ketika itu, sukar untuk kami membina semula rumah,” katanya.

Kawasan kediaman haram itu terletak berhampiran pantai di Dharavi, Mumbai.

Jadi, mereka sekeluarga sentiasa terdedah dengan cuaca ekstrem terutama apabila musim bayu laut.

Pada waktu malam, bahang panas menguasai daratan. Ini memaksa mereka tidur di atas batu di tepi laut sebagai salah satu cara menyejukkan diri.

Untuk bekalan air bersih pula, keluarga tersebut terpaksa berjalan sejauh dua 3.2 kilometer setiap hari untuk mengangkut air dari kawasan perumahan terdekat.

Pendapatan bapanya sebagai badut di majlis hari jadi kanak-kanak hanya cukup-cukup makan.

MALEESHA pernah tinggal di kawasan setinggan di Mumbai, India sebelum bergelar model terkenal.

Namun siapa sangka, takdir membawa Maleesha bertemu dengan selebriti Hollywood, Robert Hoffman.

Jelas Maleesha, dia bertemu Hoffman secara kebetulan ketika selebriti itu sedang mencari bakat tarian untuk muzik videonya pada 2020 semasa melancong ke India.

“Setelah persembahan tarian dan lakonan kami, kakak sepupu saya dipilih untuk dimasukkan dalam muzik video, sementara saya ditolak.

“Hoffman mencadangkan saya menjadi model.

“Saya tak faham konsep seorang model, jadi saya menolak pada mulanya.

“Selepas diterangkan, baru saya faham kerjaya model sesuai dengan cita-cita saya.

“Saya sangat mengagumi Priyanka Chopra, jadi saya setuju,” katanya.

Selepas mendapatkan persetujuan keluarga besar Maleesha, Hoffman mula membuka halaman Instagram dan YouTube buat gadis itu.

Kini, akaun Instragram model muda itu memiliki 458,000 pengikut, manakala akaun YouTube pula memiliki 89,900 pelanggan (subscribe).

Pelakon filem Step Up 2: The Streets itu juga memulakan kutipan derma melalui GoFundMe untuk menampung keperluan makanan, pendidikan dan tempat tinggal keluarga berkenaan.

Pelakon berusia 38 tahun itu juga memantau perkembangan Maleesha dengan menjadi pengurus jarak jauh kepada gadis berkenaan.

Sementara itu, jurugambar profesional India, Sasha Jairam bersetuju membantu gadis itu dengan membina portfolio seorang model secara percuma.

Rentetan itu, rezeki Maleesha melimpah ruah sehingga dia berpeluang menjadi penghias muka depan majalah terkemuka seperti, The Peacock, Grazia, Cosmopolitan dan Face.

Kejayaan terbesar Maleesha setakat ini adalah menjadi duta produk mewah India, sekali gus mengubah definisi kecantikan bagi masyarakat negara itu.

Pemilihan gadis berkulit gelap itu memecah obsesi masyarakat India terhadap kulit putih.

Gadis berketurunan Gujarat itu menjadi ejen perubahan sosial di India seiring dengan gerakan global yang memperjuangkan definisi kecantikan secara inklusif.

Hasil pendapatan diperolehi, Maleesha berjaya membawa keluarganya keluar dari kawasan setinggan dan menyewa pangsapuri satu bilik yang dilengkapi tandas, bekalan air bersih dan elektrik.

Biarpun keadaan hidupnya semakin berubah, namun Maleesha masih mahu meneruskan pengajian di sekolah awam dan sering melawat rakan-rakannya di kawasan setinggan.

“Saya mendapat gaji pertama daripada Instagram selepas tular. Apabila pengurus saya (Hoffman) menyerahkan 35,000 rupee (RM1,996), saya sangat terkejut.

“Tiada siapa dalam keluarga saya pernah ada duit sebanyak itu.

“Dulu, ayah saya banyak hutang. Walaupun dia tak pernah cerita, namun saya faham situasi ayah.

“Dengan pekerjaan ini, saya berjaya membantu ayah langsaikan hutang. Bahkan, kami sekarang mampu membantu orang lain,” katanya.

Terdahulu, Maleesha turut terlibat dalam filem pendek bertajuk Live Your Fairytale arahan pengarah terkenal India, Arsala Qureishi dan Jas Sagu.

Video berdurasi tujuh minit itu memaparkan momen kegembiraan lima gadis dari kawasan setinggan yang diberi peluang untuk makan di restoran buat kali pertama.

Filem pendek yang disiarkan pada April 2021 itu melonjakkan lagi populariti Maleesha sehingga dia terkenal di sekitar Mumbai.

Maleesha berharap, dia dapat terus memberikan impak positif kepada masyarakat India secara umum.

“Ada kalanya, orang awam beritahu, mereka mengenali saya menerusi media sosial.

“Saya gembira dapat memberi inspirasi kepada semua,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN