KAMPAR – Seorang suri rumah terpaksa mendiami bahagian bawah rumah selepas kediaman tempat dia berteduh dengan suami dan lima anaknya semakin dimamah usia dan struktur kayu di bahagian atas semakin mereput dimakan anai-anai.
Nurul Annisa Zulkiflee, 32, berkata, suaminya, Amir Husni Abdul Hamid tidak mampu untuk membaiki struktur kayu yang reput itu kerana hanya bekerja kilang membuat bahan penghalau nyamuk di Mambang Diawan di sini dengan gaji kasar sebanyak RM1,500.
“Gaji yang diterima itu hanya cukup untuk keperluan bulanan keluarga.
Sejujurnya kami tiada simpanan atau duit lebih untuk membaiki bahagian atas rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ayer Hitam Labu di sini kelmarin.
Katanya, selain menunggu masa untuk roboh, atap di hahagian atas rumah itu juga berlubang dan bocor setiap kali hujan lebat.
“Apabila berpindah di bahagian rumah bawah, setiap kali hujan, saya dan anak-anak terpaksa meletakkan baldi kerana air mengalir turun dari
bahagian atas rumah.
“Mahu makan dan melakukan kerja-kerja seharian pun berasa tidak selesa.
“Apa yang saya bimbang kini adalah keselamatan anak-anak sekiranya papan di bahagian atas rumah ini roboh kerana mengalami kerosakan teruk,” katanya dengan nada sedih.
Bagaimanapun, Nurul Anissa memberitahu, beliau berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitumal dan agensi-agensi kerajaan yang banyak memberikan bantuan kewangan secara one off kepadanya untuk memberli keperluan harian.
“Cuma, saya berharap semoga ada pihak yang sudi membantu membaiki kerosakan bahagian atas rumah ini.
“Ia bukan untuk saya, tetapi bagi keselesaan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Anissa menerusi talian 013-254 3096 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Nurul Annisa Zulkiflee menerusi nombor 0899541100623988.














