fbpx
RAMSUKMAWATI menunjukkan songket Sarawak semasa ditemui dalam sebuah ekspo kraf di Kuala Lumpur baru-baru ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Keunikan seni ‘menyolek’ songket Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK di usia remaja, minat wanita itu terhadap seni tenunan kain songket telah berputik selepas dia bersama adiknya menyertai program Perantisan Tenunan di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak (Kraftangan Sarawak) pada tahun 2006.

Namun begitu, selepas mempelajarinya, Ramtiniwaiti Ramlee, 38, hanya menggunakan kemahiran tersebut sebagai hobi di masa lapang memandangkan dia mempunyai pekerjaan tetap di sebuah organisasi.

Menurutnya, walaupun dia hanya menenun kain sebagai hobi, aktiviti itu juga menjadi sumber pendapatan sampingan buat dirinya kerana ada rakan-rakan yang berminat dan mahu menempah hasil kain tenun terutama songket Sarawak.

“Pada permulaannya, saya hanya tertumpu pada teknik pembuatan sahaja bagi penghasilan setiap kain songket.

“Apabila mendapat sambutan yang menggalakan dan menerima banyak tempahan, saya memutuskan untuk behenti kerja pada tahun 2013 dan kemudian memulakan perniagaan kain songket Sarawak secara kecil-kecilan di kampung halaman,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, di Kampung Gedong, Simunjan, Samarahan, Sarawak, dia bertapak dengan menjalankan pembuatan kain songket Sarawak dan memulakan operasi pada 2014 seterusnya menjadikan aktiviti tersebut sebagai industri komuniti pada 2016 di bawah Seri Gedong Songket.

Katanya lagi, menerusi Seri Gedong Songket, ia bukan hanya sebuah perniagaan yang memasarkan kain songket Sarawak tetapi juga medan untuk memartabatkan dan meneruskan kelangsungan fabrik warisan Borneo itu dengan melibatkan komuniti dalam sektor pembuatan.

Dia juga pada masa sama bukan hanya menghasilkan kain songket, malah turut menjalankan kajian tentang fabrik tersebut dengan mencari adiguru dan orang-orang lama untuk belajar serta menghasilkan kain songket Sarawak yang autentik.

Songket ialah kain tenunan tradisional Malaysia yang boleh ditemui di Semenanjung dan Sarawak.
Istilah songket merujuk kepada teknik tenunan hiasan yang digunakan untuk membuat kain dengan memasukkan benang emas atau perak di antara benang asas.

Jelas Ramtiniwaiti lagi, dari segi sejarah, songket Sarawak adalah produk tekstil daripada bangsa Melayu Sarawak yang diwariskan secara turun-temurun.

Secara amnya, dari segi proses tenunan, songket Sarawak tidak mempunyai perbezaan dengan songket Terengganu dan Kelantan kerana ketiga-tiganya bermula dengan proses melonseng, menganing, menggulung benang, mengarap dan menenun bunga.

Bagaimanapun, dalam istilah pembuatan, orang Sarawak tidak menggunakan ‘menenun’, tetapi ‘menyolek’.

Oleh demikian, para pembuat songket Sarawak ini haruslah mempunyai kemahiran menyolek songket yang tinggi bagi menghasilkan selembar songket Sarawak yang cantik dan berkualiti tinggi.

DALAM istllah pembuatan, proses menenun songket Sarawak tidak dipanggil menenun sebaliknya ‘menyolek’.

Selain itu, ada pihak yang mengatakan bahawa songket Sarawak mempunyai ‘sifir khas’ dalam pembuatannya iaitu seumpama modul yang digunakan oleh penenun songket Sarawak semasa mengikat benang di loseng sebelum memulakan proses menyolek.

Benang yang berlainan ini akan dibahagikan mengikut sifir bagi menampakkan motif songket yang diingini oleh penenun.

Kongsi Ramtiniwaiti songket Sarawak juga menggunakan teknik ‘tapok’ atau sembunyi benang semasa proses menyolek yang menjadikan jahitan di bahagian luar dan dalam tidak berbeza, sekali gus membolehkan kedua-dua bahagian boleh dipakai.

“Songket Sarawak juga mempunyai versi-versi kain tersendiri yang menandakan identiti dalam busana Melayu Sarawak, contohnya kain penakan, kain belatak, kain beturus, kain biasa dan lain-lain.

“Bagi kain belatak, keunikannya adalah ia dapat digunakan pada kedua belah bahagian kain, depan dan belakang,” ujarnya yang merupakan pereka dan penenun bagi setiap helai fabrik yang dihasilkan di Seri Gedong.

Menurutnya, di Sarawak, kain songket kebiasaannya digunakan oleh kaum lelaki sebagai kain samping yang digunakan bersama baju Melayu, manakala bagi kaum wanita pula ia digunakan untuk ‘berkoyok’ (selempang) dan juga sebagai kain sarung.

Seiring peredaran zaman pada masa kini, penggunaan kain songket boleh dipelbagaikan mengikut trend masa kini tetapi masih mengekalkan ciri-ciri songket Sarawak pada kain tersebut.

Sementara itu, dalam industri pembuatan songket Sarawak di Kampung Gedung, pengurus Seri Gedong Songket, Ramsukmawati Ramlee, 36, menjelaskan bahawa dalam usaha melestarikan tekstil warisan tersebut mereka bukan hanya menenun sendiri tetapi turut mewarnakan benang bagi mendapatkan hasil lebih asli dan autentik.

Menurut Ramsukmawati, pihaknya menerapkan 10 proses bagi penghasilan setiap helai kain songket bagi memastikan kualiti serta keaslian dapat dikekalkan.

“Antara proses-proses yang ada adalah seperti proses mewarna benang, menerai, menganik, menggolong, menyampak, mengarap, menghubung, meneguh, menyongket dan menenun.

“Penghasilan kain songket akan memakan masa dua hingga tiga bulan, malah pernah mencecah lima ke enam bulan bergantung jenis dan rekaan dalam setiap kain,” kongsinya.

Jelasnya, selain memberi perhatian dalam pembuatan, pihaknya turut melaksanakan pelbagai program bagi memperkenalkan songket

Sarawak dan pada masa sama mendidik khususnya generasi muda untuk meneruskan legasi seni warisan berkenaan.

Katanya, pihaknya turut menjalanklan bengkel tenun, selain menyertai ekspo di seluruh negara bagi memperkenalkan songket Sarawak sebagai salah satu warisan negara.

“Kerajaan Sarawak juga telah banyak membantu untuk melestarikan dan memampankan lagi warisan songket Sarawak ke mata dunia.

“Selain itu, pihak Centexs iaitu satu agensi di bawah kerajaan negeri Sarawak juga telah mula menjadikan tenunan songket Sarawak sebagai salah satu bidang yang harus dipelajari oleh belia secara amnya,” jelasnya.

Kata Ramsukmawati lagi, selain itu, dalam industri pembuatan di Kampung Gedong, pihaknya juga melibatkan khidmat penenun tempatan sebagai langkah untuk menjana pendapatan setempat, selain mengekalkan kelangsungan seni pembuatan dalam komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN