fbpx

Beri khidmat terbaik selaras kenaikan gaji – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru semua warga perkhidmatan awam untuk terus bersama dengan kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan sektor ekonomi.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, komitmen tinggi penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan sektor ekonomi sudah tentu akan memberikan kesan yang positif kepada perkembangan ekonomi negara.

“Penjawat awam sebagai pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta tanggungjawab.

“Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Adnan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian serta komitmen kerajaan dalam membuat penstrukturan semula gaji penjawat awam.

“Ketegasan Perdana Menteri dalam memastikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan dengan segera begitu dihargai oleh seluruh warga perkhidmatan awam setelah bertahun-tahun tidak dilakukan dengan serius.

“Alhamdulillah, kerajaan telah menerima setiap pandangan yang diberikan oleh Cuepacs dalam tempoh kajian SSPA dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Katanya, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dibuat oleh Perdana Menteri pagi tadi sudah tentu memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam di semua peringkat.

“Tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara.

“Setelah sekian lama tiada sebarang tindakan drastik diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki struktur gaji penjawat awam, akhirnya Perdana Menteri mengambil langkah berani dalam mempercepatkan pelaksanaan SSPA yang baharu,” katanya.

Katanya usaha dan komitmen tersebut merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang bekerja meletakkan negara pada landasan yang kukuh.

“Cuepacs juga berharap masyarakat turut bersama dan memberi sokongan kepada perkhidmatan awam dalam memacu pembangunan negara ke arah yang lebih cemerlang.

“Hentikan persepsi yang tidak benar dan elakkan daripada membuat perbandingan yang tidak membawa kebaikan kepada semua pihak. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.

Tambah Anwar, pendapatan minimum penjawat awam berserta elaun ditetapkan pada RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI