fbpx

Kebechi, Happy dipenjara enam tahun miliki kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBECHI membuat kecoh ketika diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bertukar kecoh selepas seorang lelaki warga Nigeria bertindak agresif dan meninggikan suara sebaik sahaja dibawa keluar oleh anggota polis.

Sebelum itu, tertuduh, Kebechi Thomas Nwankwu, 38, dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah dan 10 sebatan manakala teman wanitanya, Happy Akhidenor Aituaje, 33, turut dipenjara bagi tempoh sama atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah kedua tertuduh sebaik pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, kedua tertuduh yang merupakan pelajar di sebuah univerisiti swasta di Melaka dan Kuala Lumpur itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 580.98 gram.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi di sebuah rumah bernombor di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Taman Bukit Beruang Bestari dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Mac 2022.

Sabit kesalahan kedua, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, kedua tertuduh ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Tiong dan hasil pemeriksaan menjumpai satu ketulan mampat dan lima peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja yang disimpan dalam beg sandang berwarna hitam dan sebuah beg bewarna biru.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

Peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili kedua tertuduh merayu hukuman minimum dengan alasan tertuduh telah insaf dan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga di Nigeria.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun setengah terhadap kedua tertuduh serta 10 sebatan untuk Kebechi Thomas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI