Itu antara pertanyaan berlegar-legar dalam kalangan peminat yang tercari-cari figura kecil molek tersebut apabila kelibatnya tidak kelihatan dalam mana-mana acara muzik.
Bukan sengaja menghilang sebaliknya penyanyi berusia 22 tahun itu mengakui membawa diri seketika daripada radar dunia seni bagi mencari jati diri.
Tenang di satu sudut, anak kelahiran Selangor itu berkata tempoh menyepi bukan sahaja fasa dia menyambung pengajian tetapi juga untuk meneroka diri sendiri selain mencari perbezaan antara Iman Troye dan Iman Alyssa Shabudin.
Bertemu empat mata dengan penyanyi bertubuh genit tersebut dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, ramahnya tetap sama dan perlu diakui semakin matang dalam memberi jawapan untuk setiap pertanyaan.
“Ya, saya ada dengar orang bercakap mengenai saya hilang sebelum ini.
TERIMA banyak tawaran berlakon tetapi Iman belum bersedia untuk menggalas komitmen sebagai pelakon. – Foto: FARIZ RUSADIO | Penata gaya: Nana Chah
“Apa yang boleh saya katakan adalah saya mencari diri sendiri. Dalam fasa tersebut saya menjauhkan diri daripada dunia seni sebentar.
“Bukan merajuk cuma mahu mencari kepastian dan kehendak hati sama ada ingin terus menjadi Iman Troye atau Iman Alyssa
“Selepas melaluinya, saya mula sedar bahawa nyanyian adalah jiwa saya yang tidak boleh dibuang jauh. Akhirnya saya memilih untuk menjadi Iman Troye dan Iman Alyssa dengan cara lebih matang,” katanya kepada Pose.
Tempoh bertenang
Dalam tempoh hilang dari radar tersebut, ramai mula melantunkan pelbagai spekulasi termasuk melabelnya hanya ‘bernyawa’ apabila ada produk.
Bahkan dia mengakui hatinya sangat tersentuh ramai tercari-cari sosok dirinya sepanjang tempoh tersebut.
“Kerjaya seni saya masih bernyawa, tidak pernah mati pun cuma diperlahankan seketika kerana sibuk sambung belajar dan ‘tempoh bertenang’ itu.
“Banyak juga saya dengar orang cakap saya akan ghaib bila tiada produk, namun tidak ambil hati pun.
“Cuma, rasa terharu juga orang mencari dan menanti kemunculan saya. Syukur masih ada yang mahu mendengar nyanyian seorang Iman Troye. Insya-Allah saya tak akan hilang lagi,” ujarnya yang bakal muncul dengan single bergenre pop tidak lama lagi.
Mengimbas semula kembara seninya, Iman antara penyanyi muda yang tidak terlepas dihujani kecaman ramai berkaitan nyanyian dan penampilannya.
Vokal ‘ke laut’ dan suara tidak merdu antara yang kerap dilemparkan sebelum ini, namun dia tetap positif selain menilai semua kecaman tersebut secara positif.
“Sehingga hari ini, saya percaya bahawa dalam hidup, bukan semua orang suka kita dan begitu juga sebaliknya.
“Setiap orang ada pandangan berbeza tentang kita dan tak boleh paksa mereka untuk suka.
MENGHASILKAN lagu mengenai pengalaman kisah putus cinta tiada dalam kamus dirinya kerana berasakan individu yang menghancurkan hatinya tidak layak berada dalam mana-mana karya seni.
“Apabila ada kecaman dan sebagainya, saya lihat dari sudut positif selain fikir masih wujud individu yang sedar kewujudan saya,” katanya lagi.
Dia juga mengambil semua kritikan tersebut sebagai titik permulaan untuk menjadi penyanyi yang lebih baik.
“Kalau ada orang komen pasal nyanyian, saya akan perbaikinya dengan pergi ke kelas vokal.
“Jika orang kritik tentang pemakaian, saya ambil komen tersebut dengan hati terbuka dan jangan terlalu melayan. Tipulah tidak pernah sedih tapi saya akan segera sembuhkan luka di jiwa,” ujarnya yang kerap disamakan dengan Datuk Seri Vida.
Cinta, kahwin
Bukan gimik lagu, itu yang ditegaskan Iman apabila kisah cinta tidak kesampaiannya mula dikorek.
Dia juga menegaskan tidak ada niat apatah lagi sengaja mencari publisiti murahan dengan menjual kisah cinta tersebut dalam media sosial.
“Biasalah jiwa muda, ada pasang surut dalam dunia percintaan dan saya antara yang melaluinya.
DALAM fasa ‘hilang’ sebelum ini, Iman sedar bahawa separuh jiwanya adalah untuk bidang seni.
“Setiap orang berkawan dan bercinta cuma dalam tempoh sekarang, biarlah antara saya dan individu itu sahaja tahu,” kongsinya.
Tidak menafikan sakit melalui fasa putus cinta, Iman bagaimanapun tetap optimis dan tidak meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak.
“Ya, memang hubungan saya dengan lelaki itu putus tetapi saya anggap tempoh kami bersama adalah fasa berkawan dan mengenal hati budi.
“Tiada istilah ‘meroyan’ apabila putus cinta sebab kami tidak mempunyai ikatan yang sah pun.
“Setakat ini semua okey dan anggap tiada jodoh sahaja,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, dia mengakui berasa ‘seram’ untuk menamatkan zaman bujang selepas melihat kemelut rumah tangga yang melanda beberapa selebriti tanah air ketika ini.
“Usia saya baru 22 tahun. Kalau orang cakap tentang perkahwinan, jauh lagi perjalanan tersebut.
“Takut dan trauma bila fikir tentang kahwin terutama selepas melihat rumah tangga orang sekeliling saya termasuk kak Bella Astillah yang berantakan.
“Saya takut tetapi keinginan nak kahwin itu memang ada,” katanya yang meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun.