VOLVO XC90 merupakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bersaiz besar berbanding kebanyakan kenderaan jenis sama di negara ini.
Bersaiz besar dengan kapasiti tujuh tempat duduk dan mewah, ia mampu memberikan keselesaan kepada semua yang menaikinya.
Sejak generasi keduanya dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2015, SUV plug-in elektrik hibrid (PHEV) ini mendapat sambutan dan boleh dikatakan banyak di atas jalan raya.
Tawaran harga dan rekaan yang menarik mungkin menjadi satu tarikan utama pada model ini ketika itu.
Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji model XC90 Recharge versi 2024 selama beberapa hari. Dari segi dimensi, model ini mempunyai panjang 4,953 milimeter (mm), 1,913mm (lebar) dan 1,670mm (tinggi).
Penulis difahamkan antara kemas kini bagi rangkaian model Volvo 2024 termasuklah pengecas bersepadu (OBC) 6.4kW 2 fasa bagi semua model baharu PHEV, perkhidmatan digital percuma selama lima tahun termasuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store selain fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars.

Tawaran warna baharu Vapour Grey sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Denim Blue dan Platinum Grey. Model yang dipandu uji ini berwarna Denim Blue.
Bumbung kaca panoramik dijadikan ciri standard bagi semua model dan terdapat tambahan aplikasi YouTube kepada sistem infotainment Google built-in. Aplikasi YouTube ini hanya boleh digunakan apabila kereta berada dalam keadaan tidak bergerak seperti semasa menjalankan pengecasan atau ketika berhenti rehat dalam perjalanan.
Penulis diberitahu pemilik model-model Volvo terdahulu yang menggunakan sistem infotainment Google tersedia ada juga akan dapat menggunakan YouTube melalui pengemaskinian perisian secara over-the-air (OTA).
Pada bahagian luaran dan dalaman SUV ini, tidak banyak perubahan selain yang penulis maklumkan tadi.
Sistem infotainment masih mengekalkan ciri-ciri canggih seperti sistem audio jenama Bowers & Wilkins dengan 19 speaker serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
XC90 ini masih menggunakan enjin 2.0 liter serta motor elektriknya dengan transmisi automatik mampu menghasilkan kuasa maksimum 462hp dan tork tertinggi 709Nm.
SUV besar ini mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 5.3 saat. Namun kelajuan maksimumnya sekadar 180 km/j kerana disekat atas faktor keselamatan.
Volvo XC90 Recharge ini masih kekal sebagai satu-satunya SUV PHEV tujuh tempat duduk yang boleh didapati di pasaran Malaysia. Dengan suspensi udara aktif dan jarak elektrik tulen sehingga 77 kilometer (km), ia membolehkan perjalanan harian yang bebas tanpa penggunaan petrol.
Penulis turut difahamkan SUV ini hanya memerlukan 1.8 liter petrol untuk perjalanan sejauh 100km. Dengan kapasiti petrolnya sehingga 71 liter, bayangkan boleh bergerak berapa jauh?

Ciri-ciri lain seperti lima mod pemanduan Pure, AWD, Hybrid, Power dan Off Road yang ditawarkan dapat memberikan mod berbeza kepada pemandu.
Penulis merasakan resipi utama model ini mampu bertahan hampir 10 tahun mungkin atas dasar rekaannya yang menarik dan ciri-ciri praktikal di samping tawaran enjin PHEV.
Model dengan tawaran tujuh tempat duduk ini cukup selesa walaupun kesemua tempat duduknya digunakan.
Faktor keselamatan juga menjadi akar umbi dengan Volvo turut memberikan tambah nilai dari aspek keselamatan pada jenama ini.
Sebagai contoh, ISOFIX Mounting Points merupakan cara paling selamat dan mudah untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak yang boleh diakses melalui bahagian bawah sandaran tempat duduk belakang.
Oleh kerana Volvo XC90 telah direka untuk kegunaan keluarga, ia juga hadir dengan Integrated Booster Cushion.
Khusus untuk kegunaan kanak-kanak berumur empat tahun ke atas, Integrated Booster Cushion ini membolehkan kanak-kanak anda duduk dengan selesa pada kedudukan kerusi yang dilaraskan lebih kecil tanpa perlu ibu bapa risau kerana kerusi ini dilengkapi tali pinggang keselamatan khas untuk anak-anak.
Integrated Booster Cushion ini juga antara ciri-ciri peralihan dari baby car seat kepada tempat duduk normal di samping mengajar anak-anak keselamatan dalam kenderaan.














