fbpx

LIMA ‘25 ketengah segmen baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly bersama barisan kepimpinan tertinggi ATM ketika simbolik Majlis Pelancaran LIMA ‘25 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA ‘25) bakal mengetengahkan beberapa segmen baharu bagi menarik lebih banyak penyertaan terutama pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pameran yang diadakan setiap dua tahun itu dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, segmen baharu itu akan menjadi medan mengetengahkan pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.

“Kita juga menggalakkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam industri aeroangkasa dan maritim untuk menyertai LIMA ‘25.

“Ini merupakan hasrat dan inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menjadikan LIMA ‘25 sebagai sebuah pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran LIMA ‘25 di Wisma Perwira di sini semalam.

ADLY (dua dari kiri) bersama Isham (kanan), Mohammad (kiri) dan Pengerusi GEC, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam (dua dari kanan) ketika simbolik Majlis Pelancaran LIMA ‘25 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur semalam. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

LIMA yang mula diperkenalkan pada tahun 1991 akan memasuki edisi ke-17 pada tahun hadapan dengan tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’.

Adly memberitahu, LIMA ‘25 yang diadakan di Langkawi, Kedah itu merupakan anjuran MINDEF bersama Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) dan turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn. Bhd., SHP Media Sdn. Bhd., Curio Pack Sdn. Bhd., Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT).

“GEC masih berterusan berbincang bersama dengan rakan strategik lain yang berpotensi membawa LIMA ‘25 ke satu tahap yang mampu memberikan impak positif kepada negara dan industri.

“Pameran (LIMA ‘25) kali ini mendapat sambutan awal yang menggalakkan daripada syarikat dalam dan luar negara.

“Setakat ini sebanyak 11 buah syarikat sudah menyatakan penyertaan mereka (bersetuju) walaupun LIMA ‘25 baru dilancarkan hari ini.

“Ia membuktikan bahawa pameran LIMA merupakan sebuah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain industri tempatan dan antarabangsa khususnya sektor aeorangkasa dan maritim,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI