fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Kerajaan kaji SOP perlaksanaan raptai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) ketika berucap pada sidang akhbar di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2024 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini hari ini. FOTO oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bakal meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) membabitkan perlaksanaan raptai persembahan penerbangan untuk mengelakkan tragedi sama daripada berulang pada masa hadapan.

Menurut Mohamed Khaled, sebuah jawatankuasa khas juga telah diwujudkan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas membabitkan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, Selasa lalu.

Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan lembaga siasatan tersebut akan melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran tertentu.

“Kami akan ambil pengajaran daripada tragedi ini. Buat masa sekarang, kami sedang menunggu laporan siasatan untuk tindakan seterusnya.

“Apa sahaja yang kami boleh bantu kami akan bantu. Tidak ada apa yang hendak disorokkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2024 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, selain bantuan awal sebanyak RM10,000, 21 orang anak anggota TLDM yang terlibat dengan nahas tersebut juga bakal menerima sumbangan berjumlah 1,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“Kami akan cuba usahakan dan pastikan apa yang bakal diterima oleh keluarga mangsa diuruskan dengan baik. Jadi, jangan risau soal pencen, insurans, koperasi atau apa-apa, semua itu kami sedang bantu keluarga uruskan.

“Saya tidak beri penekanan soal (bantuan kewangan) kerana saya tahu, sebanyak manapun bantuan yang diberikan, nyawa yang terkorban itu tiada gantinya.

“Tetapi, saya beri jaminan bahawa semua urusan ini sedang dilaksanakan dan sampai masanya kita akan maklumkan kepada waris,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled juga sempat mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengirim doa bagi kesemua anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi tersebut.

Menurut beliau, semua jenazah sudah selamat disemadikan pagi tadi dan yang terakhir adalah mendiang Leftenan T Sivasutan yang bakal dikebumikan petang nanti.

“Semalam, saya berkesempatan untuk menghadiri pengebumian (Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin) dan sempat berbual dengan balu mangsa. Balu mangsa mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa yang dikirimkan.

“Menurut balu Allahyarham, kerja sebagai seorang askar ini mungkin nampak biasa-biasa sahaja. Namun, hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang tahu apa komitmen serta pengorbanan seorang tentera demi negara.

“Menurut keluarga, mereka reda dengan ketentuan Tuhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI