fbpx

Penjawat awam jangan bagi alasan remeh, tingkat efisien – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, hari ini.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam dan agensi kerajaan melakukan anjakan dalam semua bidang terutama meningkatkan tahap efisien bagi menarik pelabur asing ke negara ini.

Anwar berkata, peningkatan tahap efisien itu perlu dilakukan dengan sedaya upaya memandangkan fokus utama negara kini adalah dasar yang jelas dan kecepatan kelulusan dalam semua bidang.

Katanya, ini kerana semua pihak terutama pelabur tidak boleh bersabar dan menerima alasan yang remeh berkaitan dengan tahap efisien dalam perkhidmatan.

“Pelabuhan harus efisien, lapangan terbang harus efisien, efisien maknanya penumpang tidak boleh menunggu berjam-jam.

“Saya berikan contoh dua jam di Lapangan Terbang New York, ia tidak jadi masalah sebab New York adalah tempat tumpuan.

“Tapi kalau dua jam (menunggu) di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur itu tidak boleh, sebab itu saya buat keputusan dengan kelulusan Jemaah Menteri bahawa semua pihak jangan bagi alasan remeh kerana orang tidak boleh sabar dengan tidak efisien dalam perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga tidak mahu Malaysia kalah dari segi tahap efisien dalam menarik pelaburan asing dengan negara lain terutama Vietnam yang kini menjadi gergasi dari segi pelaburan di negara Asean.

“Vietnam muncul sebagai gergasi di rantau Asean dan kekuatannya adalah kecepatan kelulusan dan dalam beberapa aspek mereka mengalahkan kita.

“Saya tidak mahu Malaysia kalah dari segi efisien, kerana kita ada kekuatan tenaga kerja, penguasaan bahasa Inggeris dan latihan yang lebih baik semua ada pada kita,” katanya.

Justeru itu, Anwar berkata, beliau mahu kerajaan negeri memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan tahap efisien dalam semua perkara dapat ditingkatkan.

“Sebab itu saya minta kerajaan negeri bekerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Pusat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI