“SEJAK kecil, impian saya cuma satu iaitu menjadi doktor haiwan dan membantu menyelamatkan sebanyak mungkin haiwan di dunia ini.”
Itu apa yang berbutir dan keluar dari mulut lelaki dikenali sebagai Dr. Kwane Stewart ketika berucap selepas dinobatkan sebagai Wira CNN Tahun 2023 (CNN Hero of the Year) baru-baru ini.
Dr. Stewart dicalonkan warganet sehingga berjaya sebagai Top 10 sebelum dianugerahkan penghormatan atau kemenangan amat bermakna itu.
Kerja kebajikan yang dilakukannya telah memberi inspirasi kepada ramai orang.
Dr. Stewart merupakan seorang doktor haiwan serta pengasas organisasi bukan kerajaan (NGO), Project Street Vet yang ditubuhkan pada 2020.
NGO itu cukup unik dan istimewa kerana memfokuskan misi membantu atau merawat haiwan peliharaan milik gelandangan yang serba kekurangan.
Ia ibarat kebajikan serampang dua mata atau melakukan kebaikan dua dalam satu.
Menerusi badan tersebut, lelaki kelahiran San Diego, California, Amerika Syarikat itu memberi rawatan perubatan secara percuma kepada haiwan jalanan milik gelandangan atau individu kehilangan tempat tinggal.
“Saya sangat bertuah dengan apa yang saya lakukan. Saya berjanji, ini bukan pengakhiran, tetapi ia merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja kebajikan yang saya cintai ini,” katanya.
Menyorot kembali, Dr. Stewart terlebih dahulu memulakan kerja-kerja murni dengan menyantuni haiwan jalanan sejak lebih sedekad lalu.

Ujarnya, pada satu hari, ketika sedang berehat sambil minum secawan kopi di sebuah premis di bandar kelahirannya, dia ternampak seekor anjing sakit milik seorang lelaki gelandangan.
Sambil menghirup kopi, dia dengan selamba mendekati anjing tersebut dan memeriksa keadaan haiwan malang yang tidak terurus itu.
“Saya merawat kulit anjing tersebut yang berdarah akibat bergaduh atau didera.
“Namun, kata-kata syukur daripada lelaki gelandangan itu, ‘terima kasih kerana tidak mengabaikan saya’ telah menjentik hati saya’
“Sejak itu, saya bertekad untuk melakukan lebih daripada itu. Saya lakukan ini demi minat bukan duit.
“Jadi, saya mula memberikan lebih banyak bantuan dan pertolongan kepada haiwan malang itu.
“Ia meliputi keseluruhan haiwan peliharaan individu gelandangan.
“Dalam apa jua keadaan, saya melihat seorang insan berhati mulia telah menjaga haiwan malang itu, namun mereka memerlukan bantuan.
“Jangan sesekali kita mengabaikan gelandangan atau haiwan jalanan ini.
“Mereka bukan memerlukan pertolongan atau dakapan 24 jam daripada kita.
“Namun, cukuplah dengan bantu mencukupkan keperluan harian mereka seperti makanan, perlindungan dan kesihatan,” katanya dalam dalam nada sebak.
Menerusi kemenangan itu, Dr. Stewart membawa pulang AS$100,000 (RM474,750) sebagai dana bagi mengembangkan kerjaya dan organisasinya.
Malah, graduan Colorado State University dalam program veterinar itu juga membawa pulang dana wang tambahan berjumlah AS$300,000 (RM1,424,250) sumbangan The Elevate Prize Foundation.
“Saya sifatkan ini sebagai perjuangan kecil dan apa yang saya mampu sumbangkan kepada komuniti serta dunia.
“Saya akan menjaga sebaik mungkin kebajikan haiwan jalanan termasuk mereka yang membantu menjaganya,” katanya.
Jelas lelaki berusia 50 tahun itu, dia sebelum ini pernah berkhidmat selama lebih dua dekad sebagai pegawai veterinar di pusat perlindungan haiwan di sebuah daerah di California Utara.
Setelah lama berkhidmat, dia terfikir untuk meninggalkan kerjaya itu pada 2011 dan mula memfokuskan kepada kerja-kerja berkaitan penjagaan haiwan di jalanan sehingga Project Street Vet ditubuhkan.
“Kalau ikutkan hati, saya ini sudah lama impi untuk menyelamatkan ratusan ribu haiwan terbiar di luar sana.
“Bila saya lihat sendiri nasib haiwan jalanan yang akhirnya mati begitu saja, ia sangat meruntun jiwa dan menyentap emosi saya.
“Ini membuatkan saya berazam untuk membela nasib haiwan-haiwan berkenaan,” ujarnya.

Katanya, selepas puas ‘makan gaji’ selama lebih dua dekad, dia kini tidak lagi memikirkan soal kewangan, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada kebajikan haiwan.
Justeru, semua dana yang disumbangkan orang ramai akan digunakan bagi membela nasib haiwan-haiwan jalanan.
Kongsinya, hasil sumbangan orang ramai selama hampir lima tahun kepada Project Street Vet, Dr. Stewart memaklumkan, pihaknya juga berjaya membuka sebuah klinik kecil.
Katanya, klinik tersebut menjadi hub bagi menyediakan bantuan rawatan perubatan kepada haiwan peliharaan yang mana pemiliknya tidak mampu menjaga dan menanggung kos penjagaan.
Dia juga bekerjasama rapat dengan pemilik-pemilik haiwan yang mempunyai masalah dari segi kewangan dan perbelanjaan harian untuk haiwan peliharaan mereka.
Menariknya, bermula daripada kerja-kerja sosial itu juga, Dr. Stewart mula menyebarkan mengenai perkhidmatan yang mereka tawarkan menerusi media sosial.
Selepas sebaran dalam media sosial, pihaknya mendapati bahawa ramai pemilik haiwan peliharaan ingin berkongsi cerita dan pengalaman mereka.
“Menerusi persetujuan pemilik haiwan terbiar, kami mula hasilkan dokumentari pendek mengenai sejarah dan perjalanan Project Street Vet serta kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.
“Selepas itu, ramai mula membuka mata mengenai kerja dan usaha gigih yang saya lakukan.
“Salah seorangnya ialah jururawat veterinar, Genesis Rendon yang turut tampil untuk bekerjasama dengan kami.
“Kehadiran Rendon yang saya sifatkan sebagai ‘tangan kanan’ dalam membantu saya menguruskan klinik dan merawat haiwan jalanan seharusnya dipuji,” katanya.
Untuk makluman, Dr. Steward turut mempunyai sebuah buku hasil tulisannya berjudul What It Takes To Save Life.
Menerusi temu bual bersama media, Dr. Stewart kini dalam perancangan membina lebih banyak jaringan dan rangkaian sukarelawan haiwan jalanan di seluruh dunia.
Katanya, rangkaian tersebut juga disebar luas kepada hospital dan klinik veterinar di San Diego termasuk memberikan bantuan dari segi rawatan antibiotik, vaksin, ubat anti radang dan lain-lain secara pecuma.
Sehingga kini, kerja-kerja sukarelawan tersebut berjaya disebarkan sehingga ke beberapa bandar lain termasuk di Orlando dan Atlanta.
“Tidak kira apa keadaan, latar belakang atau masa lalu anda, saya melihat haiwan peliharaan di jalanan ini sebagai satu keutamaan.
“Saya mengambil berat kepada mereka (pemilik) yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kami.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada mereka, semuanya secara percuma,” katanya.
Sementara itu, Dr. Stewart memberitahu, sejak NGO miliknya ditubuhkan, dia dan pasukan telah merawat serta menyelamatkan nyawa ribuan anjing dan kucing terbiar.
Atas sumbangan dan jasanya dalam bidang kesukarelawanan haiwan, kerajaan San Diego City baru-baru ini telah mengisytiharkan 20 Februari sebagai Dr. Kwane Stewart Day.
















